Perhatian kepada yang berkenaan!

Posted: Februari 6, 2007 in Artikel

Bayangkan sekiranya anda berada di dalam keadaan kewangan yang menghimpit. Anda sangat-sangat memerlukan wang bagi membiayai kehidupan seharian anda pada ketika itu. Lebih malang, tiada saudara mara yang sudi membantu. Ditambahkan pula dengan corak kehidupan yang sukakan kepada perjudian. Anda menggigil jika tidak berjudi. Judi adalah darah daging anda, ‘udara’ untuk meneruskan kehidupan ini.

Pada tahap ini, anda mula membayangkan seguni wang jatuh dari langit, atau apa sahaja kaedah yang dapat menghasilkan wang mudah yang pastinya tidak memerlukan usaha atau borang untuk diisi. Semua perkara sudah terhidang dengan segera. Anda pula sememangnya sudah biasa dengan kehidupan serba segera atau ‘instant’ pada masa kini.

Makanan segera, minuman segera dan pelbagai lagi yang serba segera. Pola makan dan minum serba segera ini ternyata telah mempengaruhi pola pemikiran dan budaya anda juga. Seperti soal makan dan minum, anda juga mengharapkan serba serbi perkara dalam kehidupan bisa dicapai secara segera. Maka anda akan memikirkan jalan pintas atau ‘short cut’ untuk meraih sesuatu yang anda hajati. Prinsip Machiavellisme; tujuan menghalalkan cara menjadi pegangan.

Jalan pintas diperoleh. Sumber bagi wang segera dikenalpasti. Caranya mudah, tiada borang perlu diisi. Hanya mengambil masa kira-kira 10 minit sahaja. Namun, anda perlu bersedia dengan kadar bunga yang tinggi sehingga melebihi 30 peratus sebulan. Kemanisannya cukup terasa, namun, bersedialah untuk menderita sepanjang hayat kerana wang yang dipinjam sejumlah RM150,000 itu akan menyebabkan anda terpaksa membayar RM20,000 seminggu!

Kesengsaraan itu ditambah apabila setelah lebih setahun cuba melunaskan hutang tersebut, anda diberitahu ia cuma bayaran untuk kadar faedah sahaja (merujuk kes Ah Kow (bukan nama sebenar), ‘Sengsara akibat pinjam Ah Long,’ Utusan Malaysia, 30 Januari 2006).

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong mengakui bahawa gejala Ah Long ini bertapak akibat daripada kegiatan negatif masyarakat yang suka berpoya-poya dan berjudi sehingga menyebabkan mereka kehabisan wang. Sebagai contoh, daripada 486 kes peminjam Ah Long yang dilaporkan kepada biro tersebut tahun lepas, 80 peratus daripadanya didapati menggunakan wang berkenaan untuk tujuan tersebut.

Apa yang memeranjatkan, baru sahaja sebulan kita meraikan tahun baru, namun setakat ini sebanyak 50 kes yang melibatkan Ah Long diterima. Menunjukkan betapa masalah ini sangat menekan dan memerlukan perhatian pihak berkuasa.

Tidak dapat dinafikan, pihak berkuasa tidak berdiam diri. Pelbagai langkah telah diambil dan sedang diperhalusi. Antaranya ialah pemantauan terhadap 3,000 pemberi pinjaman wang berlesen di seluruh negara. Pemantauan yang dilakukan oleh pasukan petugas khas polis ini menunjukkan kesan yang positif. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuf menyatakan bahawa pada bulan Desember lalu, 60 kes melibatkan Ah Long telah diterima dan tidak sampai sebulan pemantauan dijalankan, jumlah laporan yang diterima menurun kepada 30 kes sahaja.

Selain itu, pihak polis juga telah mengketengahkan cadangan supaya kedua-dua peminjam dan pemberi pinjaman (Ah Long) dikenakan tindakan. Aktiviti Ah Long ini berkembang akibat adanya permintaan daripada peminjam. Mereka adalah golongan yang bertanggungjawab menyebabkan perlakuan jenayah Ah Long seperti peras ugut, mencedera dan membunuh gara-gara tidak mampu melunaskan hutang mereka. Justeru, adalah tidak adil sekiranya hukuman dijatuhkan kepada sebelah pihak sahaja. Cadangan tersebut akan diusulkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk kajian.

Langkah mendaftarkan talian prabayar juga dilihat sebagai salah satu kaedah membendung gejala Ah Long ini. Tindakan mengesan Ah long akan dilakukan berpandukan kepada data dalam kad-kad perniagaan mereka yang diedarkan secara terbuka kepada orang ramai. Langkah ini akan memudahkan pihak berkuasa mengesan dan memantau mereka secara lebih berkesan.

Kesungguhan kerajaan bagi memerangi aktiviti Ah Long ini tidak pernah berhenti. Ini dapat dilihat menerusi Rangkaian pajak gadai Ar-Rahnu yang diperkenalkan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM). Setakat ini rangkaian Ar-Rahnu hanya mempunyai 160 cawangan di seluruh negara dan kerajaan bercadang menambah jumlah cawangan sedia ada menjadi 400 cawangan untuk kemudahan rakyat. Sistem Ar-Rahnu yang mengguna pakai prinsip Islam merupakan kaedah terbaik untuk membantu rakyat khususnya mereka yang beragama Islam selain dapat meningkatkan kadar pendapatan dan ekonomi.

Bagaimana aktiviti Ah Long ini boleh bertapak di negara ini? Sistem pinjaman mudah ini dilihat bukan sahaja merugikan bagi jangka panjang, tetapi juga membahayakan kepada sesiapa sahaja yang melibatkan diri dengannya. Dengan modus operandi ala-ala mafia, mereka langsung tidak gentar dengan pihak berkuasa dan segala-galanya sentiasa di dalam kawalan mereka. Mereka mengugut, mencederakan, menakut-nakutkan malah sanggup membunuh untuk mengutip kembali wang yang dipinjamkan.

Masyarakat umum cukup memahami bahawa sistem kewangan sedia ada mempunyai banyak kekangan dalam memenuhi hak dan keperluan setiap warga untuk berhutang. Kriteria ketat yang diguna pakai oleh bank-bank tempatan seperti kelayakan kredit dan keperluan cagaran, secara tidak langsung menafikan hak golongan berpendapatan rendah dan pengusaha kecil dan sederhana daripada arus perdana sistem kewangan dan perbankan.

Oleh yang demikian, kira-kira 60 peratus peniaga kecil di seluruh negara terpaksa meminjam wang daripada Ah Long berikutan kesukaran mereka mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan sah. Perangkaan hasil tinjauan Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) ini mendapati sebahagian besar daripada peniaga kecil terbabit terdiri daripada mereka yang membuka gerai makanan secara kecil-kecilan.

Tinjauan itu juga mendapati bilangan peniaga yang paling banyak mendapatkan pinjaman daripada Ah Long sehingga kini berada pada paras kritikal berlaku di Johor, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak dengan jumlah pinjaman sekitar RM1,000 hingga RM5,000 sahaja.

Walaupun kerajaan telah meminta institusi kewangan melonggarkan syarat dan terma pembiayaan pinjaman kepada golongan peniaga kecil ini serta memastikan semua bank bersifat global dan mudah, masih terdapat bank atau institusi kewangan yang tidak berkeyakinan terhadap industri kecilan ataupun yang berasaskan petanian ini. Akhirnya, jalan mudah bagi golongan peniaga kecil ini ialah beralih kepada Ah Long yang bercirikan mudah dan segera ini.

Profesor Dr. Muhammad Yunus menyatakan bahawa kemiskinan adalah musuh kepada keamanan. Jika dirujuk kepada masalah Ah Long, ia adalah suatu kebenaran. Pemenang Nobel keamanan tahun 2006 ini merupakan seorang yang berpandangan jauh. Dr. Muhammad Yunus telah menubuhkan sebuah bank khusus untuk memberi pinjaman mikro kepada rakyat Bangladesh. Pensyarah ekonomi di Universiti Chittagong, Bangladesh ini telah membantu sekumpulan penduduk kampung yang terdesak dengan melangsaikan hutang mereka dengan Ah Long.

‘‘Bank konvensional mencari orang kaya tetapi kami mencari rakyat miskin.’’ Kata-kata beliau ini benar-benar sesuatu yang bertentangan dengan amalan institusi kewangan dunia. Masakan tidak, Pengasas bank Bank Grameen ini menyediakan pinjaman tanpa cagaran dengan bayaran balik dan kadar faedah seminimum mungkin.

Konsep yang dipanggil mikrokredit ini mampu memberikan pinjaman berjumlah RM2.9 bilion setahun kepada tujuh juta rakyat Bangladesh. Bank tersebut juga boleh berbangga dengan kadar bayaran balik pinjaman yang tinggi iaitu 99%.

Langkah yang diambil beliau sangat bertepatan dengan saranan agama Islam. Islam mengharamkan pemberi pinjaman daripada mendapatkan sebarang manfaat daripada urus niaga hutangnya. Ini termasuklah mengenakan faedah ke atas nilai asas pinjaman yang diberikan kepada peminjam. Dr. Muhammad mengatakan,: ‘‘Akses kepada kredit atau pinjaman adalah hak asasi manusia dan setiap negara perlu mempunyai organisasi kewangan yang ‘self-sustaining’ tetapi tidak memaksimakan keuntungan.’’

Allah berfirman: Dan jika (orang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. (Al-Baqarah: 28).

Nabi s.a.w. bersabda,: Pada malam aku diisra’kan (Mikraj) aku melihat tulisan di atas pintu syurga, ‘Pahala sedekah ialah 10 kali ganda dan pahala memberi hutang ialah 18 kali ganda’. Aku bertanya Jibrail kenapa memberi hutang lebih banyak pahalanya daripada sedekah? Jawabnya, kerana orang yang meminta sedekah dalam keadaan meminta sedangkan dia mempunyai harta. Sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjaman kecuali kerana sesuatu keperluan (Ibn Majah dan Baihaqi).

Disamping langkah pemantauan dan pembenterasan yang dilakukan kerajaan, alangkah moleknya sekiranya kejayaan Profesor Dr. Muhammad Yunus ini diadaptasikan di negara ini bagi membenteras terus gejala Ah Long disamping dapat meningkatkan taraf ekonomi rakyat dan negara. Bagi institusi kewangan berlesen, ini merupakan ‘turning point’ bagi mereka mengkaji kembali polisi mereka.

Komentar ditutup.