Huru Hara Haru Biru

Posted: Februari 5, 2007 in Artikel

Perdana Menteri, dengan tegas menyatakan, “Jika anda mahukan kebebasan, apalah kebebasan tanpa tanggungjawab. Kebebasan tanpa tanggungjawab adalah satu (bentuk) kekacauan. Sesungguhnya ia menjadi tidak bertanggungjawab.”

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Mohd Jarjis pula berhujah, “Sudah ada garis panduan seperti Bill of Guarantees yang menjamin tidak ada tapisan atau saringan dalam internet. Komitmen kerajaan ini tidak berubah. Bagaimanapun kebebasan tentu sekali bukan lesen bagi mencetus huru-hara dan melanggar undang-undang negara.”

Datuk Seri Rafidah Aziz yang turut terasa bahangnya meminta kerajaan memantau laman-laman web terutama blog-blog individu yang banyak memuatkan fakta tidak benar mengenai pemimpin dan kerajaan. Beliau menegaskan, kebanyakan blog tersebut juga memuatkan fitnah terhadap pemimpin dan kerajaan. Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik pula mengingatkan bahawa, “Anda sembanglah (blog) walau apa pun tetapi jangan langgar undang-undang negara. Berhati-hati, kerana kami boleh mengesan anda.”

Akibatnya… ‘Kekacauan’ saman-menyaman antara akhbar New Straits Times dan empat eksekutif kanannya terhadap dua blog popular, Screenshots dan Rocky Bru atas dakwaan fitnah. Selain ketidakpuasan hati menteri-menteri disebabkan ‘hentaman’ yang diterima daripada blogger-blogger yang bebas bersuara menghentam sehinggakan Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor dengan lantangnya mencabar, ‘‘Dulu kita ada Wild Wild West tetapi kini kita ada Wild Wild Web. Kalau mereka ini benar-benar gentleman, orang yang bertanggungjawab, tampil ke hadapan dan berhujah secara bersemuka. Bukannya berlindung di sebalik blog atau laman web yang tidak bertanggungjawab.”

Semuanya berkenaan dengan blog. Fenomena blog kini telah mengakibatkan huru hara kepada ‘si pemakan cili’ yang ‘kepedasan’ mungkin. Masakan tidak, mengikut perangkaan Netcraft, sebuah syarikat pemantau internet di England, sebanyak 101,435,253 laman web sama ada secara percuma atau berbayar di seluruh dunia. Manakala 178,000 blog atau dua blog baru akan wujud di seluruh dunia setiap dua saat. Bayangkan seandainya blog-blog yang tumbuh ini pula merupakan blog-blog yang benar-benar memanfaatkan kebebasaan yang dimiliki termasuklah ‘menghentam’ sesuatu badan ataupun orang perseorangan. Huru hara, haru birulah keadaan.

Belumpun habis kes penyebaran e-mel fitnah di antara penyanyi, biduanita Datuk Sharifah Aini dengan Datuk Siti Nurhaliza, kini timbul pula kes fitnah yang lain disebabkan oleh kecanggihan teknologi maklumat kini yang tidak bersempadan ini. Kerana kekebalannya, di bawah jaminan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC), kerakusan pihak-pihak yang suka mengambil kesempatan ini semakin menjadi-jadi.

Walaupun fungsi blog adalah seperti diari atau jurnal peribadi, tetapi oleh kerana sifatnya yang universal, isi kandungannya boleh dibaca oleh semua yang melawati laman web tersebut. Bukan itu sahaja, pembacanya juga bebas memberikan komen atau buah fikiran mereka terhadap sesuatu topik atau isu yang diketengahkan oleh blogger tersebut. Ini termasuklah komen yang berbentuk membina dan menghentam atau mengutuk.

Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Turki pernah mengatakan bahawa, “kebebasan bersuara tidak bermaksud kebebasan menghina”. Ini adalah kerana blogger-blogger ini masih lagi terikat dengan undang-undang negara seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Hasutan, 1948, Akta Fitnah, 1957.

Sebelum menulis artikel ini, penulis ingin merasai bagaimanakah perasaannya memiliki blog dengan mengetengahkan idea yang ada mengenai isu-isu semasa yang berlaku. Sememangnya tidak dapat dinafikan, semangat begitu berkobar-kobar sekiranya isu yang diketengahkan mendapat maklum balas daripada pembaca. Ini membuatkan penulis bersemangat untuk menulis dan meluahkan persoalan demi persoalan yang bermain difikiran. Dengan harapan agar buah fikiran tersebut dapat diterima dan seterusnya mendapat idea-idea sokongan daripada pembaca. Tetapi penulis tidak berhajat memanjangkan perkongsian idea tersebut berkisar ke arah sesuatu yang sensitif yang boleh mendatangkan kemudaratan.

Tidak dapat disangkal, apabila buah fikiran dan luahan hati yang digarap tersebut mendapat sambutan dan pengikut, suatu perasaan megah dan ‘berkuasa’ menguasai diri penulis pada ketika itu. pada pendapat penulis, jika tidak dibendung dengan segera, akan menjadi suatu keasyikan dan ketaksuban sama ada pada penulis blog ataupun kepada khalayak yang membacanya.

Penulis memetik kepada peristiwa Revolusi Teratai Puteh di negara China yang terhasil daripada nota-nota kecil yang ditanam dalam kuih bulan yang dijual kepada seluruh rakyat China. Apabila tercapai tahap kefahaman kepada idea yang ingin disampaikan, gelombang rakyat akan memuncak lantas mencetuskan revolusi yang telah merubah China. Peristiwa ini tidak mustahil dapat diulangi. Mungkin apa yang berbeza adalah metode dan kaedahnya.

Sebenarnya wujudnya teknologi adalah bertujuan bagi memudahkan menggunanya. Tidak kiralah merangkumi teknologi apapun di dunia ini, semuanya adalah dicipta bagi kesenangan dan kebaikan manusia. Begitu juga dengan kewujudan blog. Antara sifat blog yang baik ialah ia menggalakkan orang menulis dan memberikan pendapat. Selain itu, blog juga memudahkan individu berinteraksi dan menyampaikan pandangan dan pendapat selain bertukar-tukar fikiran. Jika dulu orang kurang menulis, kini ramai yang cuba menulis dan lebih kreatif mengendalikan penggunaan internet menerusi laman blog ini. Ini salah satu bukti kebaikan teknologi maklumat ini. Namun. Menerusi kebaikan ini, terdapat juga keburukan akibat daripada disalah erti dan disalahgunakan.

Sebagai langkah melindungi keselamatan negara, sesetengah negara seperti Cuba dan China misalnya, telah mengambil langkah menapis segala maklumat yang ada di internet yang dianggap sebagai ancaman kepada ideologi penduduknya. Manakala India mengambil langkah yang lebih drastik iaitu menutup laman web dan blog yang mengancam keselamatan negaranya.

Di Malaysia, walaupun kerajaan telah memberikan jaminan tidak akan menyekat internet, kerajaan dalam usaha menubuhkan Pusat Keselamatan Siber Nasional bagi tujuan melindungi remaja dan kanak-kanak daripada mencapai kandungan yang tidak sesuai bagi mereka di laman web dan sebarang cubaan serangan ke atas sistem data dan maklumat negara.

Langkah ini, pada pendapat penulis adalah perlu bagi menangkis sebarang kemungkinan penyalahgunaannya yang hanya akan mendatangkan keburukan kepada keselamatan, keharmonian dan generasi akan datang. Selain itu, pembaca perlulah membuat penilaian antara yang baik dan buruk, antara yang benar dan fitnah.

Tanggungjawab pembacalah untuk menilai cerita-cerita yang disiarkan melalui internet.

Komen-komen
  1. bobex berkata:

    apa komen anda?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s