Bukan Masalah Remaja Sahaja

Posted: Januari 17, 2007 in akhbar, think tank thought

Remaja sering dilihat sebagai ´kelompok pemberontak´. Mereka juga digambarkan sebagai kelompok yang sering membuat keputusan dengan terburu-buru selain gemar mengambil mudah semua aspek perkara yang berkaitan dengan diri dan kebebasan mereka. Orang dewasa sering sahaja ´pening kepala´ untuk ´menenangkan´ remaja terutamanya remaja yang sememangnya bermasalah.

Golongan remaja sering terdorong mengikut kata hati muda mereka. Kenakalan remaja, seks bebas dan bermacam masalah lainnya semakin hari semakin merebak. Itu tidak dapat dinafikan. Sering menjadi persoalan adalah bagaimana mereka boleh menjadi harapan bangsa jika mereka sudah menjadi sampah masyarakat terlebih dahulu.

Justeru, golongan remaja ini cenderung dipersalahkan. Remaja yang dipersalahkan ini kemudiannya bertindak seperti yang dilabelkan kepada mereka akibat didorong rasa kekecewaan. Bagi mereka, sudah dilabelkan sebagai begitu dan begini, lebih baik mengiyakan sahaja dengan melakukan perlakuan yang dilabelkan tadi!

Dalam pengertian yang sama, kumpulan manusia dewasa sudah sinonim dan selesa melihat remaja sebagai pemberontak muda yang menyusahkan, malangnya, remaja juga ´selesa´ memperlakukan perilaku yang dilabelkan bagi mengiakan ´doa´ kumpulan dewasa itu.

Perlu diingat, sememangnya pelbagai masalah senantiasa menimpa dan ia begitu kompleks dan beragam. Ia akan terus berulang dari generasi ke generasi dari satu tampuk pemerintahan ke tampuk pemerintahan seterusnya. Itu adalah suatu yang normal. Masalah yang berulang ini selalunya menarik untuk dibahaskan. Bagaimanapun, perbahasan ini pula haruslah bertunjangkan ilmu pengetahuan yang tuntas bukannya mengikutkan kata hati sahaja.

Pendekatan yang diambil kumpulan dewasa menyalahi remaja ini sebenarnya adalah metode kumpulan dewasa menyembunyikan ´kekurangan´ dan ´ketidakmatangan´ mereka dalam menyelesaikan masalah yang lebih kompleks merangkumi masalah kesemasaan mereka. Psikologi juga telah memperlihatkan bahawa seseorang yang bersalah berkecenderungan menyalahkan orang lain bagi menutup kelemahan diri mereka sendiri.

Menerusi pendekatan menghentam dan menyalahi ini, mereka berharap kesalahannya akan terlindung dan tidak kelihatan kerana mereka mempercayai bahawa dengan perlakuan sedemikian masyarakat akan memberikan perhatian kepada kesalahan orang lain. Kumpulan yang mengaku dewasa dan matang ini tidak seharusnya terus-menerus mencari dan menyalahkan golongan remaja dalam segenap hal berkaitan dengan kebejatan yang berlaku.

Perlakuan salah-menyalahkan ini secara tidak langsung memperlihatkan remaja daripada kaca mata golongan dewasa hanya sebagai beban dan bukannya aset bagi negara. Di sini ilmu pengetahuan merupakan ´pendamai´ yang bersifat sebagai orang tengah dalam menangani kekusutan ini. Ilmu pengetahuan itu bertindak bagi mendidik bukan sahaja golongan remaja malahan kelompok dewasa.

Ilmu pengetahuan yang berperanan mendidik ini pula bukan bermaksud sekadar memenuhi otak dengan segala macam ilmu yang belum diketahui tetapi ilmu yang bermaksud mendidik akhlak dan jiwa mereka. Al-Ghazali pernah berkata: “ Tujuan pendidikan ialah mendekatkan diri kepada Allah. Tujuan mempelajari segala ilmu pada masa kini adalah untuk kesempurnaan dan keutamaan jiwanya”.

Imam Al-Ghazali ada berpesan kepada muridnya: “Wahai anak! Ilmu yang tidak disertakan dengan amal dinamakan gila, sebaliknya amal tanpa menggunakan ilmu akan menjadi sia-sia. Ilmu semata-mata pasti tidak akan menjauhkan maksiat di dunia ini, tidak akan membawa kepada ketaatan dan di akhirat kelak ia tidak akan memelihara kamu atau menghindarkan kamu daripada neraka jahanam.”

Imam Ghazali menjelaskan bahawa proses pendidikan (merujuk kepada soal mendidik akidah) terbahagi kepada empat tahap:

1. Mestilah dimulai dengan hafaz.
2. Kemudian diikuti dengan proses memahaminya iaitu dengan dibentuk kefahaman menerusi cara mendedahkan pengertian isi kandungan akidah tersebut sedikit demi sedikit.
3. Setelah itu diiktikadkan dengan penuh kepercayaan.
4. Ditasdiqkan (dibenarkan) dengan penuh keyakinan.

Menerusi saranan-saranan di atas, Imam Ghazali melihatnya persis siraman air serta taburan baja untuk menumbuh dan menyuburkan ´biji benih´ yang sudah sedia ´disemai´ (Prof. Zakaria Stapa: Cabaran Terhadap Umat Islam, Khususnya Golongan Remaja Pada Abad Ke-21, Jurnal YADIM: p182, 2001).

Pelaksanaan saranan tersebut dilihat akan menjadi landasan dan asas kepada pertambahan kemantapan dan pengukuhan pegangan akidah dalam diri manusia. Imam Al-Ghazali meyakini bahawa daripada pembacaan al-Quran serta hadis secara berterusan bersama dengan tafsiran dan kefahaman yang jelas akan menyumbang ke arah kukuhnya ´iktikad´ dan ´tasdiq´ dalam diri (Ibid).

Hadis Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawasanya: “ Sesiapa yang merintis jalan ke arah pencarian ilmu, Allah mempermudahkannya jalan ke syurga. Malaikat sesungguhnya melabuhkan sayapnya tanda setuju dengan apa yang dilakukan oleh penuntut ilmu. Kelebihan orang yang berilmu dalam bandingan dengan hamba Allah yang biasa adalah bagaikan kelebihan bukan dengan bandingan dengan semua bintang. Para ulama itu sesungguhnya pewaris para nabi. Para nabi sesungguhnya tidak mewarisi dinar atau darham, mereka sesungguhnya mewariskan ilmu, maka itu sesiapa yang mengambilnya, memaknakan dia memperoleh habuan yang sempurna. ” ( Riwayat Al-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Ilmu pengetahuan tidak terikat kepada golongan remaja sahaja kerana mempelajari ilmu pengetahuan itu adalah suatu proses yang berterusan. Justeru, soal mendidik dan dididik juga menggunakan teori yang sama. Merujuk kepada persoalan pokok perbincangan ini, masing-masing; golongan remaja dan juga kelompok dewasa wajar ´disirami´ dengan ilmu pengetahuan agar tiada lagi ´pendekatan hentam, tuduh dan mengiyakan´ yang dipraktikkan selama ini.

Seharusnya kedua-dua pihak memperakui keistimewaan dan kebolehan masing-masing kerana keduanya berperanan lengkap-melengkapkan antara satu dengan yang lain. Muda tidak bererti tidak mengerti apa-apa manakala tua tidak bererti cukup ilmu didada.

Renungkanlah…

“Ketika suatu negara tidak memiliki generasi muda yang berkualiti, tunggulah kehancurannya.” Nasib dan masa depan bangsa berada di tangan mereka. Menyelamatkan generasi muda bererti menyelamatkan masa depan bangsa. Menyelamatkan remaja juga bererti menyelamatkan bangsa daripada punahnya peradaban bangsa.

Komen-komen
  1. sharudin berkata:

    Salam perkenalan
    Generasi hari ini adalah cermin kepada generasi semalam. Kalau nampak herot muka di cermin, tak boleh nak salahkan cermin sahaja. Kalau sikat rambut yang kusut, nampak tampan lah di cermin. Setuju?

  2. Think tank berkata:

    salam…
    Setuju…sangat-sangat bersetuju.🙂

  3. Hazwani berkata:

    saya bekas pelajar MRSM Transkrian, Pulau Pinang.Baru habis SPM 2007. Sebagai remaja saya nak membela sahabat2 saya. Kenape golongan dewasa asyik nak menyalahkan remaja? golongan dewasa dah lebih makan garam, dah lebih berpengalaman, patutnya fikiran x sesempit ini. Kita hidup dlm masyarakat yg toleransi.patutnya saling tolong menolong, bukannya menindas remaja, walhal saya pasti tuan juga pernah menjadi remaja bukan?? jd mengapa nak menyalahkan zaman silam tuan? kami golongan remaja mempunyai semangat inkuiri yg kuat, kami ibarat budak baru belajar? tetapi drpd siapa harus kami belajar, dr golongan dewasa yg menunjukkan contoh samada baik atau buruk.

    Kalau asyik nak menyalahkan remaja dengan mengatakan kami ni ‘kumpulan pemberontak’, kami terpaksa mengikut.siapalah kami ini hendak dibandingkan dengan golongan dewasa.hampir segala tindak-tanduk kami diawasi, katanya takut kami tergelincir dari landasan yg betul tetapi kenapa tidak biar kami mengurus hidup kami sendiri.beri kami peluang utk berdikari.Remaja sekarang lebih matang dari remaja dahulu.

    Kalau peneraju sendiri tidak menunjukkan contoh yg baik, jgn salahkan kami golongan pengikut ini, ibarat ‘paku dulang, paku serpih, mengata org, dia yg lebih. sekian terima kasih..maaf jika kata2 saya menyakitkan hati tuan tetapi saya punya hak untuk membela nasib sahabat2 saya. Bukan semua remaja teruk.Beri kami peluang utk buktikan..sekian..assalammualaikum..

  4. Think tank berkata:

    adik…jika anda menghayati keseluruhan artikel ini, anda pasti menyedari bahawa artikel ini juga sependapat dengan anda. wallahua’lam…

  5. kay_ay9116 berkata:

    salam=)
    saya juga bekas pejalar MRSM Transkrian 2003-2005.. sebelum bertukar ke Langkawi 2006-2007..

    berikutan isu ini, memang ada kebenaran jua apa yang dikatakan oleh hazwani dan lain2.. Kedudukan orang dewasa ynag hanya nak membawa seseorang itu mengikut telunjuk dan membina diri remaja itu sebagaimana zaman purbakala mereka dahulu sememangnya tak dapat diterima. Sekarang sudah dunia ke 3, bukan lagi zaman komunis…

  6. slash berkata:

    sudah dunia ke 3?ape maksudnye tu? negara dunia e 3ade la…mmg seorang remaje yg jahil

  7. anys berkata:

    remaja,
    memang………mempunyai sikap yang ingin bebas………dari kongkongan, jangan salah erti…………maksud kebebasan… sebab, tak semua golongan dewasa memahaminya……..

  8. dyna berkata:

    sy sedang menunggu keputusan SPM 2008… sy pernah melakukan perkara2 tak baik, sy pernah merokok, lepak, ponteng sekolah… sy seorang pelajar yg bermasalah, dahulu… tapi, sejak sy berpindah sekolah ke kwsn pedalaman (MRSM), sy berubah… kini, sy matang ler sikit kalaw nak bnding dengan dulu… sy pakai tudung, smayang cukup, ngaji sokmo…. emm… tp, parents sy x nmpak yg sy berubah… mereka tataw pon sy penah jadi pelajar bermasalah.. huhu… susah rr.. rase cam tak berbaloi berubah jadi org baik sket… bukan ade org kisah… (T_T)

  9. RINI berkata:

    apabila membaca catatan adik dyna, saya merasa hairan mengapan adik berasa tak berbaloi berubah menjadi remaja yang baik. Sesuatu yang kita lakukan mestilah dengan hati yang ikhlas bukannya mengharapkan pujian dari orang lain. Adik sepatutnya mencari keredhaan Allah bukannya keredhaan manusia samaada ibubapa, guru atau kawan adik, barulah adik akan merasa tenang dan beralapang dada. Buatlah sesuatu kerana ALLAH bukannya kerana MANUSIA. Adik berubah menjadi baik bukannya orang lain yg dapat menafaat malah adik sendiri akan mendapat menafaatnya dan adik TIDAK akan rugi walaupun orang lain tidak mengentahuinya. IKHLASKAN diri dalam melakukan sesuatu.

  10. You are so cool! I do not suppose I’ve read anything like this before. So nice to discover someone with original thoughts on this subject matter. Really.. many thanks for starting this up. This web site is one thing that is needed on the internet, someone with some originality!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s