Ayah

Posted: Januari 17, 2007 in Artikel

Tanpa seorang yang bernama ibu, tidak mungkin kita dapat menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi ini. Namun, tanpa kehadiran seorang lelaki yang bergelar ayah juga tidak mungkin keindahan tadi dapat dihayati.

Seorang ibu sering sahaja diingati sebagai seorang yang sanggup menanggung segala kepayahan demi anak-anak tercinta. Segala pahit jerih menjaga dan membesarkan anak-anak, melayan karenah ketika sakit demam, sering sahaja ´diredakan´ oleh tangan dan belaian seorang wanita yang dipanggil ibu.

Dunia seni turut memandang tinggi seorang wanita yang bergelar ibu. Tidak dapat dinafikan, terlalu banyak karya seni yang diilhamkan untuk menggambarkan keistimewaan seorang yang bergelar ibu. Contohnya, lagu-lagu bertemakan ibu sudah mewarnakan industri muzik Malaysia sejak dahulu hingga kini – dipelopori oleh nama-nama besar seperti P.Ramlee, Saloma, Sharifah Aini, Salamiah Hassan (dengan lagu ´ibu engkaulah ratu hatiku´) dan M.Nasir (bonda).

Realitinya, bagi penulis adalah tidak wajar sekiranya diwujudkan jurang perbezaan kasih sayang diantara ibu dan ayah oleh anak-anak kerana kedua-duanya merupakan insan yang tersangat istimewa yang sewajarnya dilimpahi dengan kasih sayang.

Bukan untuk membanding-bandingkan nilai kasih seorang ayah dan ibu, tetapi kadang-kala kita terfikir – mengapa terlalu sedikit kata sanjungan untuk seorang ayah? Berapa banyak lagu di Malaysia yang menceritakan perjuangan seorang ayah?. Adakah kerana ibu mempunyai naluri bersifat wanita – maka ibu perlu dimandikan dengan madah pujangga dan limpahan kata berbunga?

Adakah kerana ayah adalah seorang lelaki, maka bahasa-bahasa indah adalah sesuatu yang tidak relevan dan dianggap “kurang macho”? Atau, adakah kerana jerih-payah seorang ayah tidak sepahit getir-rasa seorang ibu? Atau, adakah kerana kasih seorang ayah terlalu mudah, jika dibanding dengan pengorbanan seorang ibu?

Panggilan ayah, bapa atau bapak, baba, papa, daddy – tidak kisah apa juga gelaran dan panggilannya, merupakan seorang insan yang memikul tanggungjawab yang besar terhadap keluarganya. Bagi masyarakat orang Melayu, seorang bapa dilihat sebagai seorang ketua keluarga yang sangat dihormati bukan sahaja bertanggungjawab mencari rezeki untuk keluarga malahan juga berperanan sebagai pendidik bagi ilmu agama.

Islam mengamanahkan seorang ayah menjaga, melindungi ahli keluarganya di samping pertanggungjawaban mengisi minda keluarganya dengan ilmu agama yang mencukupi sebagai bekalan mengharungi cabaran hidup kelak.

Ayah dilihat persis seorang nakhoda kapal. Sekiranya tidak betah mengemudi kapalnya dengan baik, karamlah kapal, terkorbanlah awak-awaknya. Jika seorang ayah tidak pandai mengetuai keluarganya, kucar-kacirlah keluarga pincanglah rumahtangga.

Jasa seorang ayah terhadap keluarganya tidak harus dipandang enteng hanya kerana dia tidak dipanggil ibu!

Bersempena dengan hari bapa yang disambut pada setiap bulan Jun, barangkali inilah masanya yang sesuai untuk kita menilik kembali kewajaran status dan prestij seorang ayah. Memang benar bahawa, “syurga itu di bawah telapak kaki ibu”. Namun, di mana pula syurga seorang ibu? Bukankah di bawah telapak kaki seorang suami; yang sudah tentu pula rata-ratanya bergelar ayah!.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s