Begitu Rupanya…

Posted: Januari 11, 2007 in think tank thought

Semasa bergelar mahasiswa dalam bidang kewartawanan, para pensyarah senantiasa mempunyai pandangan masing-masing apabila diajukan persoalan mengenai etika seorang wartawan dan kebebasan media.

Salah seorang daripada pensyarah penulis pernah menyatakan bahawa kehidupan seorang wartawan senantiasa berada di dalam keadaaan serba salah dan memberontak. Pelbagai tekanan dirasai terutamanya mengenai tanggungjawab mutlak sebagai wartawan iaitu memberitahu apa yang perlu diketahui khalayak dan ‘perkara yang boleh dan tidak’ yang digariskan oleh majikan. Akibat daripada kekalutan dan kekacauan tersebut, pensyarah penulis yang pada ketika itu sudah berbelas tahun menjadi wartawan, berhenti dek jiwa yang memberontak.

Penulis dan pensyarah penulis ini senantiasa berlainan pendapat dan pandangan tetapi mempunyai keserasian yang kuat. Semuanya bermula di dalam kelas ‘Garphic and Layout’ yang diajarnya. Di dalam kelas pertama itu juga, beliau memperlekehkan kami di mana dengan sinis beliau mempersoalkan kami memilih bidang kewartawanan kerana pada pandangan beliau, kami hanya layak menjadi seorang guru atau suri rumah sahaja! (kerana majoriti kami adalah perempuan).

Penulis dan rakan-rakan yang agak ‘bengang’ dengan pandangannya itu terus membangkang. (maklumlah semasa itu semangat ingin menjadi wartawan berkobar-kobar!). Penulis menyatakan bahawa beliau tidak patut memandang kecil kepada kebolehan kami hanya kerana kami perempuan. Beliau terus berpegang dengan pendapatnya dengan menambah bahawa wanita tidak akan terus kekal lama sebagai wartawan selepas bergelar isteri. Itu realiti di dalam dunia kewartawanan.

Penulis dan rakan-rakan terus-menerus membangkang dengan menyatakan adalah tidak adil menyamakan situasi mereka dengan kami kerana zaman senantiasa berubah-ubah. Begitu juga corak mentaliti dan pekerjaan. Perjalanan kelas pada hari itu hanya di isi dengan perbahasan dan perdebatan kami sahaja!

Penulis pada ketika itu menyimpan rasa tidak puas hati yang amat sangat terhadap beliau. Bermula pada hari tersebut, apa sahaja yang diberitahu atau diajar sebolehnya akan dipersoalkan semula oleh penulis kerana dengan cari itu, penulis akan berasa puas hati. Beliau pula, pantang dibangkang, ada saja jawapan yang diberikan yang menambahkan lagi sakit hati.

Setiap kali terserempak di ruang legar atau di kantin, beliau akan memanggil penulis dengan gelaran ‘taiko’ sebagai ‘signal’ untuk menambahkan sakit hati penulis dan memulakan ‘misi menyakitkan hati masing-masing’!. Pedebatan kami selalunya berkaitan dengan kerja-kerja kursus yang diberikannya di mana beliau sengaja sahaja menyuruh penulis dan rakan (kerja kursus dilaksanakan secara berkumpulan) melakukan ubah suai berserta dengan komen-komen yang menyakitkan telinga.

Jika keadaan agak tenang antara kami, beliau akan menceritakan pengalamannya ketika bergelar wartawan. Beliau tidak menafikan, pada mulanya profesion wartawan ini menyeronokkan. Berjumpa dengan pelbagai lapisan masyarakat, memerhatikan kerenah dan ragam manusia sangat mengujakan.

Kekacauan dan pemberontakan jiwa akan bermula apabila apa yang ingin didedahkan kepada khalayak, dihalang kononnya demi menjaga ‘sensitiviti’. Perkara yang dirasakan perlu disiar dan didedahkan, tidak dapat dibuat demikian hanya kerana ditakuti akan menggugat kedudukan seseorang.

Lama-kelamaan kekacauan ini akan mewujudkan dua kelompok wartawan iaitu ‘wartawan robot’ dan wartawan yang berjiwa kacau dan kebosanan. Wartawan robot ini akan menjadi lali dengan mengikut apa sahaja yang diperintahkan dengan membelakangkan terus prinsip dan kepercayaannya dahulu. Manakala wartawan berjiwa kacau dan kebosanan pula akan mengikuti arahan dan polisi yang diarahkan majikan dengan jiwa yang memberontak namun tidak mampu berbuat apa-apa demi mengenangkan periuk nasi dan mulut yang perlu disuap.

Beliau mendedahkan bahawa wartawan yang berjiwa kacau dan kebosanan ini lambat laun akan berada dalam keadaan kemuncak di mana mereka akan melakukan ‘kejutan’ atau terus menarik diri daripada dunia kewartawanan (seperti apa yang berlaku pada diri beliau sendiri!).

Ketaksuban menonjolkan berita-berita sensasi merupakan kriteria utama dalam pemilihan berita setiap kali editor-editor bersidang pada sebelah petang. Sepatutnya mendedahkan ‘apa yang perlu diketahui khalayak’, ia berubah kepada ‘apa yang ingin diketahui oleh khalayak’. Pemasaran lebih diutamakan berbanding maksud kewartawanan itu sendiri.

Kekecewaan beliau terus terpancar apabila beliau menyatakan dunia kewartawanan tidak pernah memiliki kebebasan yang digembar-gemburkan. Masakan wujud kebebasan apabila apa yang akan dikeluarkan, ‘ditapis’ dahulu ataupun perlu meminta keizinan terlebih dahulu. Keterbatasan ini mengakibatkan isu yang sepatutnya ditonjolkan seperti penyalahgunaan kuasa di kalangan menteri misalnya, tidak dapat disiarkan dan ini lama-kelamaan akan menjejaskan integriti pemerintah itu sendiri.

Kini, sebagai wartawan, penulis berasakan ‘rajuk’ pensyarah penulis itu ada relevennya. Memetik kata-kata Tokoh Wartawan Negara, Abdul Samad Ismail, media pada hari ini mengamalkan penapisan sendiri yang keterlaluan. Ini menyebabkan media kini ‘membosankan’. Tegas beliau, semua orang perlu diberi kebebasan untuk menulis apa yang difikirkan betul.

“Tidak ada orang yang mempunyai pemikiran waras akan menghentam kerajaan tanpa alasan munasabah,” katanya.

Penapisan bukan tidak wajar kerana jika difikirkan dengan penuh kewarasan, apa yang dilakukan oleh pihak media massa pada masa kini ada sebabnya. Sensitiviti yang dirasakan boleh menjejaskan keamanan dan kemakmuran negara amat wajar dihindari. Isu karikatur menghina Rasulullah s.a.w misalnya, merupakan antara ‘kekurangan’ rasa sensitiviti yang mendatangkan pelbagai reaksi dan kekecohan yang menjejaskan pelbagai aspek kehidupan. Ekonomi, keamanan dan kestabilan dicabul. Akibatnya, pelbagai kerugian berlaku.

Penulis tidak mahu komen berlebihan kerana penulis baru setahun jagung berada di dalam dunia kewartawanan ini. Apa yang penulis ingin katakan hanyalah penulis bersetuju penuh dengan penyataan tokoh tersebut. Keterbatasan tersebut hanya akan memberi tekanan kepada wartawan yang benar-benar berjuang demi maksud kewartawanan itu sendiri. Tidak akan wujud dua golongan wartawan tadi. Yang ada hanyalah wartawan yang benar-benar menjiwai prinsip kewartawanan.

Jika ikutkan penulis, jiwa seorang wartawan jangan disekat. Banyak perkara yang perlu diberitahu kepada masyarakat kerana masyarakat juga berhak tahu apa yang berlaku disekelilingnya.

“Media hari ini mengamalkan penapisan sendiri yang keterlaluan. Ada kalanya, mereka takut dengan bayang-bayang sendiri.” – A. Samad Ismail

Komen-komen

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s