Pencuri Masa yang Kerugian

Posted: Oktober 12, 2006 in Artikel, think tank thought

Orang kata, kerja yang dibuat ‘last minutes’ atau pada masa-masa genting mampu melontarkan idea yang baik dan bernas. Mengimbau kembali zaman belajar dahulu, jika tidak hari ini perlu dihantar kerja kursus yang diberi pensyarah, jarang sekali kami siapkan awal dari ‘deadline’ yang diberi. Oleh kerana sudah faham benar dengan kerenah dan sikap majoriti daripada kami, pensyarah akan memberikan tarikh, masa dan tempat yang terperinci bagi kami menyerahkan tugasan tersebut.

Kini, memegang status sebagai seorang pekerja, tidak dapat disangkal, kadang-kadang penulis membawa sikap itu bersama. Walau bagaimanapun, penulis tidak berhajat menjadi pengikutnya selama-lamanya. Sejujurnya, sikap ini sememangnya sukar dikikis kerana semakin dekat dengan ‘deadline’, lagi banyak idea yang ‘terhambur’ keluar dari minda. Bukankah itu sesuatu yang baik? Lebih baik daripada tidak buat langsung!

Imam al-Ghazali pernah menyatakan; sesuatu yang paling jauh dan susah untuk dikembalikan semula ialah masa atau waktu yang sudah ditinggalkan. Manusia yang suka menangguhkan pekerjaannya merupakan manusia yang memiliki sikap golongan yang rugi dan gagal kerana tidak menghargai masa yang ada dan terlalu yakin bahawa dia masih mampu untuk menggantikan masa yang berlalu dengan masa yang baru datang.

Terdapat kajian yang dijalankan terhadap golongan ‘penangguh kerja’ ini oleh Profesor Psikologi dari Depaul University, Amerika Syarikat. Profesor Josep Ferrari, yang menjalankan kajian tersebut menyimpulkan bahawa sikap ini disebabkan oleh gangguan jiwa dan keperibadian. Semuanya adalah disebabkan oleh suatu sikap yang sukar dibuang oleh setiap golongan manusia iaitu malas.

Membaca sebuah artikel yang menyentuh perihal golongan ‘penangguh kerja’ ini menyebabkan penulis terpanggil untuk memberikan respon. Secara kritisnya, ada yang menyatakan sikap ini berhubung dengan sikap malas dan tidak optimis. Hujahnya, mengapa perlu ditangguhkan tugasan yang diberi jika sememangnya kita mampu menyudahkannya awal?

Tambahan pula, kerja yang diberikan awal-awal sudah bertangguh, bagaimana pula sekiranya majikan memberikan longgokan kerja lain untuk disiapkan dalam kadar masa ‘deadline’ yang hampir antara satu sama lain? Bukankah akan mengusutkan lagi keadaan dan lebih ditakuti, akan menjejaskan kualiti dan prestasi kerja dimata majikan.

Kata bidalan, ‘Bertangguh itu pencuri masa’. Masakan tidak, masa yang sepatutnya diperuntukkan bagi menyelesaikan tugasan yang diberi, dibiarkan berlalu begitu sahaja sama ada digunakan untuk membuat sesuatu kerja lain yang mungkin langsung luar dari ruang lingkup tugasan; bersantai atau berborak bersama rakan misalnya. Apabila tiba ‘deadline’, barulah terkocoh-kocoh menyiapkan tugasan tersebut!

Dalam surah al-Asr, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berwasiat (nasihat menasihati) dengan kebenaran dan berwasiat dengan kesabaran.”

Rasulullah s.a.w dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari; Ibnu Omar berkata: Rasulullah telah memegang bahuku seraya bersabda: “Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau atau pengembara. Jika engkau berada pada waktu petang, jangan tunggu sampai pagi. Jika engkau di waktu pagi, jangan tunggu sampai petang. Gunalah peluang masa sihat sebelum datang sakit. Dan gunalah peluang masa hidup sebelum tiba mati.”

Di sini, konsep menghargai waktu sangat dititik beratkan oleh agama. Agama Islam memandang perlakuan membazir masa dan menangguh-nangguhkan tugasan sebagai suatu kerugian yang nyata. Mereka yang tidak mengisikan masanya dengan perkara yang berfaedah ibarat ‘pencuri masa’ yang akhirnya berada di dalam keadaan yang penuh kerugian.

Komen-komen
  1. jibrus berkata:

    Husband aku selalu buat kerja “last minute” terutamanya bila nak bayar segala jenis bil rumah kami…sebab tu selalu kena compound

  2. bobex berkata:

    belajar melalui pengalaman..

  3. syuhada berkata:

    Assalamualaikum…tima kaseh..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s