Betapa Ramai ‘Si Jendul’ Di Dunia

Posted: Oktober 11, 2006 in think tank thought

corp-culture-2.jpgDunia kini di ambang kebingungan. Masing-masing cuba menunjukkan kepandaian, walhal yang sebenarnya lebih kepada kebodohan. Yang ahli dan sering disanjung, seperti tidak mengamalkan pendirian fikiran; lebih menganjurkan rasa hati dan perasaan semata. Salah dibenarkan, manakala yang benar dinafikan kebenarannya.

Masing-masing cuba menegakkan benang yang basah. Berlumba-lumba menyakiti hati jiran, rakan dan taulan yang lain. Sememangnya bingung lagi membingungkan. Seharusnya perkara yang benar-benar mendesak seperti kebajikan manusia yang terhimpit dan teraniaya didahulukan. Malangnya, perkara-perkara remeh pula menjadi topik pilihan.

Penulis benar-benar tertarik dengan ‘hasil sindiran’ bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur di dalam akhbar (3 Oktober 2006). Sindiran yang dinukil digarap dalam bentuk penceritaan yang menampilkan dua watak utama, iaitu ‘Jendul dan Pak Guru’.

Pada pemahaman penulis, penulisan tersebut menerangkan betapa sememangnya manusia akan kelihatan bodoh jika tidak menggunakan anugerah terbesarnya, iaitu akal fikiran. Manusia akan kehilangan arah tujuan sekiranya hala tujunya tidak dilandaskan dengan ajaran agama dan akal fikiran. Kegopohan dalam menurut nafsu dan emosi hanya akan menghasilkan sesuatu yang sia-sia.

Berfikir dalam suasana gopoh boleh menyebabkan kesilapan berlaku dan akibat daripada itu akan membuatkan kita terarah kepada membuat kesimpulan yang salah. Lebih malang lagi, akibat daripada kegopohan ini, manusia lebih cenderung menghukum dan mencari atau meletakkan kesalahan pada orang lain. Begitu jugalah yang berlaku kepada Si Jendul yang terlalu ‘melayan’ emosi dan perasaan sehingga hilang pertimbangan dan akhirnya menimbulkan pertelingkahan yang bukan sekali, malah sudah dua kali.

Menurut Dr. Sidek Baba, sekiranya emosi seseorang tidak stabil, tindak balas akan menjadikan keadaan atau sesuatu itu tidak stabil. Di dalam keadaan emosi sebegini, pemikiran akan berada di dalam kekacauan. Faktanya mungkin tidak lengkap. Analisisnya tidak tepat. Kesimpulan yang diambil juga tidak membayangkan adanya pemikiran yang mendalam terhadap sesuatu isu atau perkara.

Banyak contoh yang dapat dipertontonkan pada masa kini; contoh yang menunjukkan manusia, tidak kira pangkat dan jawatan menjadi mangsa kekacauan dan kebingungan akibat daripada gopohnya fikiran dan kacaunya emosi. Tidak perlulah dinyatakan satu-persatu, cukup sekadar diperhatikan keadaan dunia yang sedang kacau-bilau ini. Mana yang kebuluran, mana yang menghadapi peperangan, mana yang huru-hara, mana yang bertikam lidah dan menikam belakang kawan; semuanya gara-gara kekacauan dan kekalutan fikiran!

Pesanan Pak Guru kepada Jendul, kita perlu bertenang dalam menghadapi suatu situasi yang menggusarkan kerana hanya demikian baru kita dapat berfikir dengan baik. Berfikirlah walaupun perlu melakukannya berpuluh kali kerana tindakan tanpa berfikir hanya akan menghasilkan tindakan bodoh, lalu jatuh ke dalam jerat musuh ataupun memalukan diri sendiri.

Teringat penulis kepada fenomena Ghazwul Fikri atau perang pemikiran yang dimainkan oleh musuh-musuh Islam yang melancarkan perang secara halus. Peperangan diletuskan secara terperinci bermula dari perubahan corak gaya hidup, cara berpakaian sehinggakan kepada corak pemikiran dan tingkah laku mengikut acuan mereka. Lebih membimbangkan, ajaran Islam akan dipinggirkan atau diolah dengan ajaran Islam yang lebih moden dengan panggilan moden seperti Islam Liberal dengan alasan ia lebih sesuai dengan gaya hidup masyarakat moden kini.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Siapa sahaja yang menguraikan al-Quran dengan akal fikirannya sendiri, meskipun benar, maka sesungguhnya dia telah berbuat kesalahan.” (Hadis riwayat Ahmad)

Musuh-musuh Islam juga sangat cenderung menciptakan berbagai-bagai istilah seperti Islam tradisional-moden, Islam moderate-fundamentalis, Islam legalistik/formalistik-subtantif normatif, Islam cultural-struktural, dan Islam inklusif-eksklusif dan sebagainya. Semua itu dimaksudkan untuk meragukan keyakinan umat terhadap pemikiran Islam. Bayangkan apa akan jadi sekiranya pemikiran umat Islam yang tidak gemar menggunakan fikiran dan hanya mengikut perasaan serta emosi membabi tuli pula membuat keputusan dan penilaian mengikut apa sahaja yang ‘dihidangkan’ oleh musuh-musuh ini. Nauzubillah.

Allah s.w.t. berfirman:

Tidaklah patut bagi lelaki Mukmin dan tidak (pula) bagi wanita Mukmin, jika Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Siapa sahaja yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata. ( al-Ahzab: 36).

Dr Sidek Baba menegaskan, dalam tradisi Islam kestabilan minda dan celik emosi adalah asas yang sangat penting bagi seseorang manusia. Cerdas akal saja tidak cukup. Ia memerlukan kecelikan emosi untuk mengenal, memahami, membuat pertimbangan yang terbaik supaya penyelesaian kepada masalah dan jawapan terhadap isu berada di tahap yang terbaik. Ajaran Islam memberitahu kita sekiranya kita mendapat perkhabaran daripada orang yang fasik, sila periksa terlebih dahulu sama ada perkhabaran itu benar atau salah.

Justeru, berfikirlah dahulu dengan perasaan dan emosi yang tenang kerana hanya dengan ini sahajalah jalan keluar daripada kekalutan dan kebodohan. Jangan menambahkan Si Jendul yang sedia ada!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s