Sabar, Tabah, Solat dan Doa

Posted: April 14, 2008 in think tank thought

Kelihatan seorang lelaki bersembunyi di sebuah kebun anggur dengan penuh kelelahan. Kedua-dua kakinya basah dengan darah dek kerana luka. Dari wajahnya terpancar kesedihan yang mendalam. Usahanya selama 10 hari ternyata sia-sia belaka. Dengan mata berkaca-kaca beliau berdoa:

“Ya Allah, kepada-Mu aku mengeluhkan kelemahan-kelemahanku, ketidakberdayaanku, dan kehinaanku di hadapan manusia. Wahai yang Maha Pengasih di antara yang mengasihi! Engkau Tuhan orang-orang yang lemah dan Engkau adalah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau hendak menyerahkan diriku? Kepada orang-orang asing yang bermuka masam terhadapku atau kepada musuh yang Engkau takdirkan akan mengalahkanku?

Hal itu tidak aku risaukan, jika Engkau tidak murka kepadaku. Namun, rahmat-Mu bagiku amat luas. Aku menyerahkan diri pada cahaya-Mu yang menerangi segala kegelapan dan menentukan kebaikan urusan dunia dan akhirat. Aku berlindung dari murka-Mu. Aku senantiasa mohon reda-Mu. Kerana tidak ada daya dan kekuatan kecuali atas perkenan-Mu.

Doa rintihan hati ini dipanjatkan Rasulullah s.a.w. berikutan misi dakwahnya di daerah Thaif ditolak mentah-mentah oleh kaum Bani Tsaqif. Bukan sahaja ditolak, bahkan Rasulullah s.a.w. turut disakiti sehinggakan Baginda terpaksa menyembunyikan dirinya disebuah kebun anggur milik Uthbah bin Rabi’ah.

Peristiwa bersejarah Thaif ini berlaku pada tahun 691M pada masa yang disebut sebagai ‘Tahun Kesedihan’ bagi Baginda Rasulullah.s.a.w. di mana pada tahun itu juga ketika Baginda berumur 50 tahun, tahun kesepuluh kenabiannya, Baginda kehilangan isteri tercinta, Siti Khadijah dan pakcik tersayang, Abu Talib. Dikatakan Rasulullah menerima tentangan hebat daripada kaum musyrik Quraisy selepas kematian pakciknya yang menjadi pelindung Baginda selama ini.

Sebelum peristiwa Thaif, berlaku peristiwa-peristiwa menyedihkan yang dialami Rasulullah s.a.w. antaranya pemulauan total kaum musyrik Quraisy terhadap Bani Hashim dan Bani Abdul Muttalib sehingga menyebabkan kaum Muslimin mati kelaparan. Peristiwa ini berlaku selama tiga tahun.

Menurut sirah, Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengalah atau berputus asa jauh sekali membalas setiap tentangan dan cacian daripada kafir musyrikin. Baginda akan mengharungi segala tentangan dan memperjuangkan dakwahnya dengan jalan sabar dan tabah dan sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t.

Hari ini, selepas kewafatan Rasulullah s.a.w., umat Islam terus-menerus diasak oleh musuh-musuh Islam daripada pelbagai sisi. Kini, Islam sering sahaja dilabelkan sebagai agama yang menganjurkan keganasan manakala umatnya dipanggil sebagai umat yang ganas dan suka berdendam.

Cacian dan pandangan serong golongan kafir terhadap umat Islam tidak pernah berhenti walau sedetik. Media massa dipergunakan sepenuhnya dalam menyebarkan propaganda dan dakyah serong mereka disokong pula dengan teknologi terkini yang memudahkan agenda seperti blog di internet. Penghinaan terbaru yang diterima adalah penerbitan filem pendek yang mengaitkan Islam dengan keganasan yang mengundang bantahan besar-besaran umat Islam seluruh dunia.

Reaksi dan tindakan umat Islam dalam mendepani asakan ini pula sedihnya tidak langsung mencerminkan kesabaran dan ketabahan yang ditonjolkan Baginda walaupun mereka sedia maklum tentang wasiat yang dibekalkan Rasulullah s.a.w. iaitu hendaklah senantiasa berpegang kepada al Quran dan sunnah serta berdoa kepada-Nya dengan jalan sabar dan mengerjakan solat.

Ketika Rasulullah s.a.w. mula bergerak bagi menyebarkan syiar Islam secara terang-terangan di Bukit Shofa, Baginda mendapat tentangan pertama daripada pakciknya, Abu Jahal. Sejurus daripada itu, Baginda terus-menerus mendapat tentangan daripada Bani Quraisy yang tidak dapat menerima baik dakwah Rasulullah kerana tidak mahu meninggalkan agama warisan nenek moyang mereka yang telah diwarisi turun-temurun itu.

Sifat sabar dan tabah Baginda Rasulullah s.a.w. semakin hari, semakin menebal dalam memperjuangkan syiar Islam sehinggakan ada suatu masa, ketika Baginda sedang berjalan disebuah lorong di Kota Mekah, Baginda diejek dan dihina sehinggakan kepala Baginda ditaburkan dengan pasir. Walaupun begitu, Baginda tetap meneruskan perjalanannya sehingga tiba dirumahnya. Melihat kepada keadaan Baginda, puteri Baginda, Fatimah menangis sambil membersihkan kepala Baginda. Dengan penuh ketabahan, Rasulullah berkata kepada puterinya, “Wahai puteriku, janganlah kamu menangis kerana sesungguhnya Allah akan melindungi ayahmu ini.”

Kehidupan manusia tidak kira pada zaman mana sekalipun akan tetap bersifat kompleks dan sarat dengan pelbagai ragam. Ada yang mengajak kepada kebenaran dan ada juga yang tidak senang dengan keharmonian yang dikecapi umat Islam lantas mengajak dan melakukan kebatilan. Sudah menjadi kehendak-Nya, dunia ini tidak lari daripada kuasa positif dan negatifnya, hitam dan putihnya sama juga dengan terciptanya pengajaran daripada kisah-kisah Adam dan Iblis, Ibrahim dan Raja Namrud, Musa dan Firaun dan nabi Allah Muhammad s.a.w. dan Abu Jahal.

Allah s.w.t. berfirman, “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap Nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan dari jenis manusia dan dari jenis jin sebagai mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan indah untuk menipu (al-An’am: 112)

Melihatkan kepada maksud ayat ini, jelas bahawa musuh-mush Islam akan senantiasa membisikkan kejahatan. Penerangan tentang Islam dan keindahannya perlu dilakukan dengan jalan sabar dan tabah sepertimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. selain itu, penerangan tersebut perlu dilakukan dengan kemantapan hujah yang dilakukan secara teliti dan tidak semberono dengan memahami latar belakang sasaran dan keadaannya.

Allah berfirman, maksudnya, “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk,” (Surah al-Nahl: 125).

Zaman di mana Islam disalahfahamkan dan ‘difobiakan’ ini memerlukan pendekatan yang bersungguh-sungguh dan berkesan. Program-program agama yang disiarkan di media massa kini misalnya, perlu dinilai semula keberkesanannya dalam menghadapi persoalan sejauh mana ia mampu menghadapi cabaran kerencaman fikiran dan tanggapan yang pelbagai terhadap Islam. Adakah ia benar-benar berkesan dalam menangkis tanggapan-tanggapan negatif ini atau menambahkan lagi tanggapan tersebut atau lebih parah, menambahkan kekeliruan kepada umat Islam sendiri.

Tanggapan dan tohmahan daripada musuh Islam ini akan terus-menerus dilontar. Hanya umat Islam sendiri yang mampu membuktikan dan menunjukkan kepada dunia bahawasanya Islam adalah suatu agama yang lengkap dan murni serta umat Islam bukan umat yang ganas dan menganjurkan keganasan. Perkara ini hanya boleh dicapai sekiranya umat Islam menunjukkan dalam amalan mereka kemurnian dan kesucian Islam ini sepertimana Rasulullah s.a.w. dan sahabat telah tunjukkan semasa zaman kegemilangan Islam dahulu dengan jalan sabar dan tabah serta tidak meninggalkan solat dan senantiasa memohon doa kepada-Nya.

Setelah segalanya ini dilaksanakan, maka kita telah melaksanakan amanah Allah s.w.t. dalam mempertahankan kemurnian dan kesucian Islam. Sekiranya masih lagi tidak dapat diterima dan ditolak, soal hidayah tidak berada di dalam tangan kita, terpulang kepada Allah s.w.t jua sudahnya. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, “Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang kusyuk. (iaitu) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.”(al-Baqarah: 45-46).

Komentar
  1. martin berkata:

    Assalamu’alaikum
    antum,,,,maaf ni u copi faste,,,,,,,,,

  2. I blog often and I seriously appreciate your content.

    This article has truly peaked my interest. I’m going to take a note of your blog and keep checking for new information about once a week. I subscribed to your Feed as well.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s