Pemantapan Institusi Ilmu Bagi Mengukuhkan Budaya Ilmu

Posted: Ogos 23, 2007 in think tank thought

finals.gifPerkataan ‘ilmu’ lazimnya merujuk kepada dua maksud; (1) pengetahuan dan kepandaian di dalam sesuatu perkara, merangkumi semua aspek kehidupan: dunia dan akhirat, (2) kajian berkenaan sesuatu perkara. Bagi Syed Muhammad Naquib al-Attas, ilmu didefinisikan sebagai ketibaan maklumat yang benar dan bermakna dalam diri seseorang insan.

Sesungguhnya dari pandangan Islam, status dan keutamaan ilmu adalah amat jelas sekali. Perkataan yang paling awal diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w adalah iqra’ yang membawa maksud “bacalah”. Hal ini juga menunjukkan betapa Islam memberikan perhatian yang utama dalam hubungan dengan ilmu dan proses pengilmuan (Zakaria Stapa, 2001).

Rasululllah s.a.w pernah bersabda, maksudnya; “Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan permudahkan baginya jalan menuju ke syurga, maka sesungguhnya para malaikat melebarkan sayapnya untuk menaungi penuntut ilmu sebagai tanda meredai usahanya.” Hadis ini memanifestasikan betapa menuntut ilmu itu adalah suatu usaha yang diredai dan dituntut dalam Islam. Wasilah dalam mendapatkan ilmu pengetahuan adalah melalui pendidikan sama ada secara implisit atau secara eksplisit.

Imam Shafie menegaskan bahawa; “Sesiapa yang berkehendakkan kepada keduniaan, maka hendaklah dia mencari ilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kepada akhirat juga hendaklah dia mencari ilmu.” Hakikatnya, perjalanan sejarah hidup manusia telah mencatatkan secara tepat bahawa ilmu adalah suatu pengaruh malahan suatu kuasa. Fakta betapa misalnya golongan kecil bangsa Greek dengan pencapaian ilmu mereka, terutamanya yang berpusat di Athen mempunyai pengaruh yang cukup besar ke atas Roman dan bangsa-bangsa lain sehingga ke hari ini (Wan Mohd Nor, 1990). Ilmu juga ternyata merupakan suatu kuasa dan boleh menjadi teras kekuatan budaya dan kualiti hidup masyarakat.

Peter F. Drucker, pakar dalam bidang pengurusan menerusi bukunya bertajuk “Post-Capital Society” menjelaskan bahawa ilmu menjadi penentu dalam penguasaan bidang ekonomi. Beliau dengan jelas menyatakan bahawa kumpulan sosial yang paling utama dan penting dalam zaman akan datang ialah pekerja dan eksekutif yang berilmu pengetahuan dan tahu menggunakan ilmu untuk suatu kerja yang produktif (Zakaria Stapa, 1994).

Jika kita merenung kembali sejarah silam khususnya di sekitar abad ke-15, warisan Islam telah membuktikan bahawa masyarakat Islam pada masa itu telah mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang sains dan teknologi khususnya bidang matematik, astronomi, perubatan, kejuruteraan, pertanian, teori dan sains gunaan.

Saintis-saintis terkenal dan para ilmuwan seperti Ibnu Sina, Al-Biruni, Al-Razi, Al-Jazari dan Al-Khawarizmi telah berjaya menghasilkan kejayaan dan inovasi penting di samping menyingkap misteri ilmu sains dan teknologi yang telah menyumbang kepada perkembangan keagungan empayar Islam tanpa menggugat keutuhan, kesucian dan akidah Islam.

Namun kini, ilmu pengetahuan dikalangan umat Islam mengalami kemunduran seiring dengan mundurnya kekuasaan politik mereka. Sejak keruntuhan Dinasti Abbasiyah (1258) yang sangat menyanjungi ulama dan ilmuan. Ilmu pengetahuan sedikit demi sedikit juga mengalami kemunduran (Mohd Shauki Abd Majid, 2004).

Tamadun yang agung kini dilihat bermula dari sebelah dunia Barat. Amerika Syarikat dilihat sebagai teras tamadun Barat mendahului negara-negara lain di dunia dalam pelbagai bidang kira-kira 20 tahun ke hadapan (Hashim Musa, 2004). Pada zaman sebelumnya, sesuatu kuasa lazimnya terhasil daripada penggunaan sumber politik, ekonomi dan ketenteraan, namun kini merubah pendekatan itu dengan menampilkan peranan ilmu khususnya ilmu-ilmu dan teknologi strategis dilihat sebagai suatu kuasa tuntas kerana dengannya, kekayaan dan kekuasaan menyeluruh dapat dijana.

Menyedari hakikat bahawa pemilikan ilmu dapat menguasai elemen strategis yang sangat diperlukan oleh kehidupan manusia, kepentingan mengamalkan pendekatan selektif dan proaktif seperti yang cuba dilakukan Osman Bakar, Syed Hussein Nasr dan ramai lagi tokoh saintis moden Islam terhadap sains dan teknologi Barat perlu dipandang serius.

Usaha ini disokong oleh ulama tersohor al-Qardhawi. Menurutnya, tidak terdapat sebarang dalil syariah yang melarang umat Islam mengambil pemikiran, kaedah atau system asing yang bermanfaat selagi tidak bercanggah dengan syariat. Ia akan menjadi lebih sempurna sekiranya nilai-nilai kerohanian Islam dapat diterapkan. Bahkan, jika sesuatu system telah terbukti dapat merealisasikan matlamat syariat dengan berkesan, maka hukum melaksanakan sistem tersebut adalah wajib (al-Qardhawi, 1997).

Hal ini bertepatan dengan syariat Islam melalui al-Quran dan hadis yang menganjurkan umatnya membudayakan diri dengan ilmu. Sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Darda: “Jadikanlah dirimu orang yang berilmu (guru) atau penunjuk atau pendengar, janganlah jadi orang yang keempat, engkau akan binasa. Iaitu tidak tahu, tidak belajar dan tidak mahu mendengar.” Budaya ilmu membawa erti perlu ada satu suasana di mana setiap orang dalam satu-satu masyarakat melibatkan diri dengan kegiatan ilmu seperti mencintai ilmu, gigih menimba ilmu, menyebar dan mengamalkannya selain dalam masa yang sama, meletakkan ilmu sebagai ukuran pada setiap tindakan bukannya hawa nafsu.

Professor Zakaria Stapa menjelaskan bahawa budaya ilmu merujuk kepada kewujudan suatu keadaan di mana setiap lapisan masyarakat melibatkan diri sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan kegiatan-kegiatan keilmuan di setiap kesempatan yang ada serta juga keadaan di mana semua tindakan kemanusiaan dalam masyarakat sama ada di peringkat individu atau berkumpulan adalah diambil dan dilaksanakan berdasarkan kejituan ilmu itu sendiri.

Merujuk kepada perkara asas pencarian ilmu pengetahuan itu, proses pencarian ilmu berkait rapat dengan pendidikan manakala pendidikan berkait rapat pula dengan organisasi keilmuan itu sendiri yang mana dalam konteks lumrahnya disebut sebagai institusi pengajian atau sekolah (dilihat dari konteks pendidikan formal). Di Malaysia, sejarah pendidikannya menerusi proses yang agak panjang iaitu satu proses pembinaan bangsa dan negara Malaysia semenjak merdeka lagi. Evolusi pendidikan ini telah melalui lima fasa iaitu:

1. Zaman Pra merdeka (sebelum 1957),
2. Zaman Pasca merdeka (1957-1970),
3. Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990)
4. Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000)
5. Zaman Dasar Wawasan 2020 (2001-2010)

Evolusi peralihan zaman ini memperlihatkan pelbagai perubahan dan pembaikan sistem pendidikan negara terutamanya dekad terakhir abad ke-20 melalui perlaksanaan dasar-dasar baru dan akta-akta yang dipinda antaranya:

1. Akta Pendidikan 1996 – menggantikan Akta Pelajaran 1961 khususnya peruntukan kuasa-kuasa Menteri Pelajaran dan penginstitusian prasekolah;
2. Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 – bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan;
3. Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 – membolehkan penubuhan sebuah majlis untuk penentukan dasar dan menyelaras pembangunan pendidikan tinggi;
4. Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara 1996 – menyediakan peruntukan pinjaman pelajar dan skim tabungan bagi meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi;
5. Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 1996 – memperluas autonomi dalam pengurusan dan kewangan kepada universiti awam bagi menentukan program ke arah kecemerlangan alam pendidikan;
6. Akta Lembaga Akreditasi Negara 1996 – memastikan tahap akademik yang tinggi, jaminan kualiti tinggi dan kawalan mutu pendidikan terpelihara dalam penyediaan pendidikan tinggi swasta;
7. Akta Institut Teknologi MARA (Pindaan) 2000 – membolehkan ITM dinaik taraf menjadi universiti;
8. Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (Pindaan) 2000 – membenarkan pinjaman kepada pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Dewan Masyarakat ada mengatakan bahawa, “Selepas kemerdekaan sistem pendidikan negara telah melalui banyak perubahan. Bermula dengan dasar untuk menyediakan peluang belajar kepada setiap rakyat, dunia pendidikan kita berkembang pesat dan kompleks. Matlamatnya juga sudah melewati dimensi baru dan lebih daripada sekadar memberi ilmu kepada masyarakat.” Negara mengalami banyak perubahan demi perubahan kesan daripada peredaran zaman yang mementingkan sains dan teknologi selain terpaksa mengadaptasikan fenomena globalisasi dan liberalisasi selain perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang berlaku seantero dunia.

Sejajar dengan arus pemodenan ini, fokus masyarakat dunia turut berubah daripada penemuan di bidang pertanian ke zaman industri dan yangterkini penyertaan yang meluas dalam bidang teknologi maklumat. Merujuk kepada pandangan pakar dan sarjana ulung dunia, mereka mengatakan bahawa sains dan teknologi boleh merubah segalanya seperti “the end of the nation state” cetusan Keneichi Ohmae, Marshall McLuhan dengan gagasan dunia tanpa sempadan dan Bryan S.Turner dengan idea zaman Pasca Modernisme. Jika dikaji secara mendalam, semua kebangkitan di atas merujuk kepada perkembangan dan ledakan pesat sains dan teknologi ke dalam masyarakat dunia.

Secara amnya, kita lihat sains dan teknologi banyak merubah cara hidup dan peradaban manusia sejak zaman dahulu hingga kini, malahan kemajuan dalam bidang sains dan teknologi ini semakin meningkat dan turut mempengaruhi cara hidup manusia serta persekitarannya. Perhubungan di antara sains dan teknologi dan masyarakat semakin meningkat dan ketara di masa hadapan. Oleh itu beberapa perubahan am akan berlaku secara langsung ataupun tidak langsung. Perkembangan sains dan teknologi boleh memberi kesan yang positif atau negatif bergantung kepada pandangan dan penerimaan setiap individu dan masyarakat itu sendiri (Falsafah Pendidikan Teknik dan Vokasional, Penterjemahan; Suriah Mohamad).

Kesan daripada globalisasi turut memberikan cabaran kepada negara untuk membangunkan ekonomi negara berasaskan pengetahuan atau dipanggil sebagai K-ekonomi. Sejajar dengan itu, program pembangunan pendidikan berasaskan ICT antaranya penubuhan Sekolah Bestari, SchoolNet, Projek MySchoolNet, Makmal Pengkomputeran, TV Pendidikan (TVP), Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Mata Pelajaran ICT dan Latihan ICT untuk Guru dilaksanakan.

Sekolah Bestari merupakan satu Aplikasi Perdana Koridor Raya Multimedia dan pelaksanaannya menekankan penggunaan ICT sebagai pengupaya pedagogi dan pengurusan sekolah. Projek ini dirintis pada tahun 1999 hingga 2002 di 88 buah sekolah yang mana 82 buah adalah sekolah sedia ada dan enam buah dibina baru iaitu SMK Putrajaya 1, SK Putrajaya 1, SK Putrajaya 2, SMK Seri Bintang Utara, SK Seri Bintang Utara dan SK Seri Bintang Selatan. Sekolah-sekolah ini dilengkapi kemudahan ICT termasuk 5,809 komputer dan 261 pelayan. Komputer digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran khususnya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Sistem Pengurusan Sekolah Bestari digunakan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan serta menyokong pengajaran dan pembelajaran.

SchoolNet

Projek SchoolNet merupakan projek penyediaan prasarana jalur lebar untuk capaian internet di semua sekolah bagi tujuan mengatasi jurang digital. Sehingga tahun 2005, 9,285 sekolah telah dirangkaikan.

Projek MySchoolNet

Projek ini dilaksanakan bagi membudayakan penggunaan internet dalam pengajaran dan pembelajaran melalui pembangunan laman web yang menyediakan bahan sumber pendidikan untuk pelajar, guru dan pentadbir sekolah seperti modul pengajaran dan pembelajaran, perisian, sukatan pelajaran, berita, forum dan program kolaboratif.

Makmal Pengkomputeran

Projek ini menyediakan makmal komputer dan membekalkan komputer serta pelayan kepada sekolah. Sehingga 2005, sebanyak 5,037 sekolah telah disediakan makmal komputeran dibekalkan 133,000 komputeran dengan 7,700 pelayan.

TV Pendidikan (TVP)

Sebelum tahun 2000, penyiaran TVP dibuat melalui RTM menggunakan pancaran terrestrial. Mulai tahun 2000, TVP dipancarkan melalui saluran ASTRO yang menggunakan satelit. Rancangan TVP dibangunkan berasaskan kurikulum dan sehingga tahun 2005, sebanyak 77 program disediakan. Sebanyak 9,500 sekolah dibekalkan lebih
11,700 set televisyen.

Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

PPSMI diperkenalkan pada tahun 2003 secara berperingkat dimulai dengan Tahun 1,
Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 rendah. Untuk menjayakan projek ini, sekolah dibekalkan dengan komputer riba, projektor LCD, pencetak dan lain-lain.

Mata Pelajaran ICT

KPM memperkenalkan mata pelajaran ‘Information and Communication Technology,’ Grafik Berkomputer, Produksi Multimedia, ‘Fundamentals of Programming,’ Program and Development Tools,’ Pemesinan Berkomputer, Aplikasi Komputer dalam Perniagaan, Animasi dan Rekabentuk Penerbitan, Penerbitan Multimedia Kreatif, Sistem Sokongan Komputer, Sistem Sokongan Rangkaian dan Program Literasi ICT bagi memperluas literasi komputer, pengajaran dan pembelajaran berbantu komputer dan memupuk insan celik teknologi, kreatif dan inovatif.

Latihan ICT untuk Guru

Pelaksanaan ICT dalam pendidikan memerlukan guru yang berkemahiran dalam ICT. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah menyediakan pelbagai program latihan untuk meningkatkan kemahiran guru.

Selain program-program pendidikan, dasar-dasar lama dan baru turut digubal dan dipermantapkan antaranya:

• Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002) memperuntukkan pendidikan wajib bagi pendidikan rendah yang dilaksanakan secara berperingkat mulai Tahun 1 pada Januari 2003;
• Program Bimbingan dan Kaunseling diperkukuhkan dengan memperuntukkan seorang kaunselor bagi setiap 500 pelajar;
• Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik alam Bahasa Inggeris laksanakan pada tahun 2003;
• Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) diperkenalkan pada tahun 2003;
• Sekolah Pusat, Sekolah Wawasan dan Sekolah Model Khas ditubuhkan dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8);
• Pemberian Bantuan ‘One-Off’ RM120 kepada murid sekolah rendah daripada keluarga miskin pada tahun 2002-2003 bagi pelaksanaan Pendidikan Wajib. Bantuan ini digantikan dengan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) mulai 2004;
• Skim Baucar Tuisyen (SSBT) memberi bantuan tuisyen kepada murid sekolah rendah Tahun 4 hingga 6 yang miskin dan berpencapaian rendah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik mulai 2004;
• Anugerah Pengetua JUSA C dan Guru Gred Khas C diperkenalkan pada tahun 2005 bagi meningkatkan peluang kenaikan pangkat kepada guru di sekolah;
• Mata Pelajaran Vokasional (MPV) diperkenalkan di Sekolah Menengah Harian pada tahun 2004 (Berasaskan Program Sekolah Ke Kerjaya di bawah pembiayaan Bank Dunia, 1998-2003);
• SPBT diperluaskan kepada anak-anak semua pegawai perkhidmatan pendidikan mulai 2006;
• Program Pemulihan dimantapkan dengan memperuntukkan guru pemulihan;
• Program j-QAF diperkenalkan pada tahun 2005 dan diperluaskan pada tahun 2006 bagi memastikan murid Islam menguasai Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain apabila tamat sekolah;
• Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Negeri didaftarkan sebagai sekolah agama bantuan kerajaan mulai tahun 2005;
• Aktiviti kokurikulum diperbaiki dengan penambahan peruntukan per kapita pelajar daripada RM2.50 kepada RM10.00 untuk sekolah rendah dan RM12.00 untuk sekolah menengah mulai 2006;
• Aktiviti kokurikulum dijadikan syarat kelayakan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam mulai tahun 2006;
• Program Pensiswazahan Guru bagi memenuhi dasar menyediakan 50 peratus guru sekolah rendah dan 100 peratus guru sekolah menengah siswazah terlatih menjelang tahun 2010 dengan memberi kelonggaran guru mengikuti program ijazah melalui pelbagai kaedah termasuk Pendidikan Jarak Jauh;
• Menaiktarafkan maktab perguruan kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) yang boleh menganugerahkan ijazah dilaksanakan mulai tahun 2006;
• Perubahan Dasar Sekolah Antarabangsa ke arah menjadikan sekolah antarabangsa di Malaysia berdaya saing di rantau Asia;
• Kerjasama antara Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KKPTM) dalam aspek latihan dan keluaran guru, dan menambah baik norma perjawatan.

(web rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia)

Sikap keterbukaan dan usaha bersungguh-sungguh yang ditonjolkan oleh Malaysia ini terbukti telah memperlihatkan kejayaan. Menurut hasil dapatan daripada kajian Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2003, pencapaian pelajar Malaysia dalam subjek Matematik meningkat daripada tempat ke-16 ke tempat ke-10 dan mendahului 40 buah negara lain termasuk negara maju seperti United kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Australia dan New Zealand. Manakala bagi subjek Sains pula, kedudukan Malaysia meningkat dari tempat ke-22 ke tempat ke-20 dan mendahului 30 buah negara lain termasuk Norway dan Itali (Wahid Hashim, 2005).

Walaubagaimanapun Malaysia tidak pernah memandang kejayaan tersebut sebagai penamat bagi usahanya. Malaysia senantiasa berusaha mencapai matlamat mutlaknya iaitu bagi mencapai status negara cemerlang, gemilang dan terbilang menerusi Wawasan 2020. Usaha ini diteruskan menerusi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang telah dirangka untuk melaksana dan merealisasikan satu sistem pendidikan yang holistik, progresif, bermoral dan bertaraf dunia. PIPP akan menjadi garis panduan yang jelas kepada semua pihak supaya segala dasar, program dan aktiviti pendidikan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan cemerlang.

PIPP juga akan memperkemaskan pelaksanaan serta memantapkan lagi proses pembinaan modal insan secara menyeluruh dan berterusan supaya output yang dihasilkan berupaya memenuhi kehendak tempatan dan antarabangsa.

PIPP digariskan melalui enam teras strategik iaitu:

1. Membina Negara Bangsa;
2. Membangunkan Modal Insan;
3. Memperkasakan Sekolah Kebangsaan;
4. Merapatkan Jurang Pendidikan;
5. Memartabatkan Profesion Perguruan;
6. Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan.

Malaysia senantiasa memastikan bahawa institusi pendidikan negara sentiasa bergerak seiring dengan keperluan semasa disetiap peringkat tidak hanya diperingkat tempatan tetapi juga antarabangsa. Selain itu, Malaysia juga komited dalam memberikan dan bertukar-tukar kepakaran dan idea, kerjasama dan tunjuk ajar selain pelbagai inisiatif yang sudah dijalankan kepada negara-negara jiran antaranya menerusi pembabitan dalam Pertubuhan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (Seameo) ASEAN yang bersidang di Bali pada 13 Mac hingga 16 Mac 2007 lalu.

Menurut Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, satu bidang yang sedang dikaji oleh negara anggota pertubuhan itu ialah teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), dengan Singapura akan berkongsi pengalaman mengenai pencapaian sekolah di negara itu dalam ICT, Malaysia dan Indonesia merujuk kepada ICT di kawasan pedalaman, dan Thailand mengetengahkan kajian tentang kesan ICT kepada kebudayaan, bahasa dan identiti. Dalam skala lebih besar, beliau berkata Malaysia sedia bekerjasama dengan Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Usaha-usaha ini, tidak dapat dinafikan, merupakan antara usaha merealisasikan negara Malaysia sebagai bukan sahaja mampu menjana produktiviti ekonomi dan modal insan cemerlang, tetapi juga dalam masa yang sama sebagai suatu usaha membentuk umat dengan jati diri yang sejati. Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sendiri menggesa rakyat, khasnya umat Islam mempertingkatkan penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang termasuk keupayaan untuk meneroka penemuan baru bagi membolehkan mereka membina pengaruh di peringkat dunia. Bagi merealisasikan gesaan tersebut, umat Islam yang berjumlah lebih 1.4 bilion orang ini amat perlu kepada penghayatan ajaran Islam sebenar. Tuanku menyatakan bahawa kunci bagi pembentukan jati diri dan kekuatan ummah adalah penguasaan terhadap ilmu dan persepakatan jitu.

Malaysia menerusi pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkan turut mengangkat penguasaan ilmu sebagai terasnya. Prinsip keempat pendekatan Islam hadhari ini penting sebagai agen pembaikan kualiti kehidupan ummah melalui pembangunan insan. Modal insan yang dapat menguasai ilmu dan kemahiran, mampu mengembalikan kegemilangan dan keagungan tamadun Islam.

Modal insan yang menerapkan ajaran Islam sebenar memandang ilmu sebagai suatu kelebihan. Menguasai dan kemudiannya mengamalkan ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah adalah merupakan ciri-ciri modal insan yang cemerlang. Kedua-dua cabang ilmu ini dilihat sama penting dan perlu digerakkan secara seiring. Perlu diketahui, proses pembelajaran dan pencarian ilmu dalam kaedah Islam tidak pernah memisahkan ilmu agama dan ilmu duniawi. Malah ciri ini yang mengangkat umat Islam terdahulu mengagungi dan mengungguli ketamadunan manusiawi. Proses ini berbeza dengan konsep yang digunapakai pihak Barat yang memisahkan urusan agama dan dunia yang mana akhirnya menimbulkan ketidakadilan kepada diri, masyarakat dan dunia keseluruhannya.

Islam mengangkat manusiawi sebagai khalifah sekalian alam. Umat Islam yang seharusnya menyedari hakikat ini amat digalakkan untuk meneroka, menggunakan dan meneliti sarwajagat ini secara bijaksana demi menjalankan tanggungjawabnya memakmurkan alam sebagai tempat yang selesa didiami disamping menghayati keesaaan, kekuasaan dan keagungan Maha Pencipta. Hal ini hanya dapat dilaksanakan menerusi penguasaan ilmu pengetahuan yang bersifat holistik merangkumi ilmu agama dan duniawi.

Komentar
  1. Bayan berkata:

    Persoalan kemudahan dan kemajuan dalam usaha menuntut ilmu tidak perlu dipertikaikan. Kerajaan telah berusaha sebaiknya menyediakan kemudahan untuk semua rakyat menjadi rakyat yang berilmu. namun, seperti ada sesuatu yang ‘missing’ dalam penyediaan ruang ilmu itu…Mungkin benar seperti yang didakwa Prof. Emeritus Datuk Dr. khoo Kay Kim, “budaya melahirkan manusia”! Ke mana kita campakkan budaya itu?

  2. Think tank berkata:

    permasalahan pokok disini adalah manusia…sikap mereka perlukan kepada pembaikpulihan…kerajaan nampaknya sedang dalam kerangka usaha ‘membaikpulih’ sikap ini.

    Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang antara lain menekankan pembentukan modal insan penulis lihat penyelesaian dalam permasalahan ini. pelan-pelan ini bukan sahaja sebagai usaha melahirkan bakal-bakal modal insan yang berkreadibiliti, tetapi juga tenaga-tenaga penggerak dan pengajar juga turut dibentuk menjadi modal insan yang mantap. mana mungkin dapat membentuk generasi cemerlang jika induknya (dalam konteks ini tenaga pengajar) tidak terlebih dahulu dicemerlangkan…

    prof emeritus datuk dr khoo kay kim pernah membidas dengan menyatakan bahawa Pendekatan Malaysia kepada pendidikan sangat mekanikal. Mereka belajar dengan menghafal, mereka percaya kepada jawapan yang betul. Anda mesti selalu memberikan jawapan yang betul, anda mesti selalu bertanya soalan yang betul.

    mungkin kerana ‘sindiran’ ini, sistem pendidikan negara dibaikpulih…wallahu’lam.

  3. Bayan berkata:

    harap-harap saranan orang-orang lama tidak dipandang dengan sebelah mata oleh peneraju sistem pendidikan masa kini…kan?…kan?

  4. bunga_angkasa berkata:

    ilmu umpama nadi kehidupan

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s