Mengiktiraf Wanita Sebagai Agen Pembangunan Negara

Posted: Ogos 7, 2007 in think tank thought

flower-power.jpg

Islam menghormati dan memandang tinggi wanita. Dalam sebuah huraian mengenai martabat wanita dalam Islam, Yusuf al-Qardhawi telah menulis, “Islam menghormati wanita, mengiktiraf keinsanan serta keupayaannya untuk memikul tuntutan agama, tanggungjawab, kesaksamaan hukuman dan peluang memasuki syurga.”

‘Betapa kasihnya Allah s.w.t kepada wanita.’ Itulah kata-kata yang paling mudah digunakan untuk menggambarkan ´layanan´ istimewa terhadap wanita dalam Islam. Sesungguhnya, tidak ada mana-mana ajaran, ideologi, isme atau agama lain yang dapat melayan wanita dengan sebegitu baik sebagaimana Islam melayan wanitanya. Malah, kalau bergabung pun kesemua wanita yang cerdik pandai, berharta dan berkuasa di seluruh dunia ini untuk menambah hak dan pengiktirafan buat mereka, mereka pasti tidak akan mencapai taraf kemuliaan serta layanan baik yang Allah s.w.t tawarkan buat seorang wanita di dalam agama Islam.

Di dalam hadis Rasulullah s.a.w banyak yang menunjukkan betapa wanita itu dimuliakan di dalam Islam. Antaranya:

1. Syurga di bawah telapak kaki ibu. Apakah wanita tidak berasa mulia dengan hadis ini? Mengapa Rasulullah s.a.w memilih perkataan ‘di bawah telapak kaki’ dan bukan ‘di dalam tangan’ atau ‘di sisi seorang ibu’? Sudah tentu ini sangat menggambarkan mulianya seorang wanita di dalam Islam. Seorang yang faham tentu akan memandang mulia, menghormati, membela serta berlumba-lumba untuk berkhidmat dan menghambakan diri kepada ibunya (dengan syarat segala yang dibuat itu tidak melanggar syariat). Tidakkah beruntung menjadi seorang ibu di dalam Islam? Dia tidak akan terbiar dan dipinggirkan, malah akan sentiasa dibela, dihormati dan dimuliakan oleh anak-anaknya.
2. Orang yang paling baik di antara kamu itu ialah yang paling baik kepada isi rumahnya, dan aku ini orang yang paling baik dari antara kamu kepada isi rumahku.
3. Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan melainkan orang yang mulia, dan tidak menghina akan perempuan-perempuan melainkan orang yang hina. (Hadis riwayat Ibnu ´Asakir)
4. Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang sopan. Kemudian apabila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.
5. Janganlah seorang mukmin lelaki membenci kepada seorang (isterinya) yang mukminah, kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang disukai. (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Wanita adalah denyut nadi kehidupan. Berbicara tentang wanita bererti juga membicarakan kehidupan itu sendiri secara keseluruhan “al mar‘atu ‘imadu‘l bilad” (wanita itu tiang negara). Bila baik wanita, baik pula kondisi negara tersebut. Perdana Menteri pernah menyatakan bahawa sekiranya kita mengecualikan sumbangan wanita dalam pembangunan Negara, ini bermakna tenaga kerja kita akan kurang dengan begitu mendadak kerana hampir 36 peratus daripada tenaga kerja di negara ini terdiri daripada kaum wanita. Selebihnya perangkaan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendedahkan bahawa kira-kira 4.7 juta berada di luar pasaran buruh dan tidak bekerja. Majoriti wanita yang berada di luar pasaran buruh adalah suri rumah tangga iaitu hampir 3 juta orang.

Mereka yang berada di luar pasaran buruh juga sebenarnya menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan masyarakat di negara ini. Suri rumah ini menyumbang kira-kira 45 peratus dalam kerja-kerja tanpa bayaran. Sumbangan ini jika dinilai dari segi wang ringgit, ia dianggarkan berjumlah hampir RM55 bilion berasaskan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2006.

Lebih-lebih lagi apabila kita lihat trend masakini dimana jumlah penuntut wanita di institusi pengajian tinggi adalah di antara 60 peratus dan 70 peratus jika berbanding hanya antara 30 peratus dan 35 peratus penuntut lelaki.

Pada tahun 1959, statistik dua tahun selepas merdeka menunjukkan bahawa terdapat hanya 77 graduan wanita atau bersamaan 10.7 peratus daripada kesemua jumlah pengambilan pelajar di Universiti Malaya (UM). Disebut UM kerana hanya universiti berkenaan wujud pada zaman berkenaan. Hari ini, selepas negara merdeka 50 tahun, seiring dengan penambahan bilangan universiti, walaupun statistik terkini tidak diperoleh, dapat dilihat dengan jelas bahawa senarionya ialah jumlah pelajar wanita melebihi lelaki. Dan jika bilangannya majoriti, maka yang akan menjadi graduan juga secara automatik adalah kumpulan majoriti. Kadar mahasiswa dan mahasiswi pada masa sekarang ialah 61.39 dengan kata lain 61 wanita, 39 lelaki.

Semua ini kerana wanita mempunyai sifat tekun dan gigih, serta mempunyai perasaan bertanggungjawab dan sanggup bertungkus lumus merebut peluang yang sedia ada.

Pencapaian wanita ini perlulah dijadikan satu dorongan kepada golongan lelaki untuk menilai kembali dimana silapnya dan berusaha memperbaiki kelemahan yang ada supaya jurang yang wujud dalam pencapaian akedemik ini dapat diperbaiki.
Sejak negara menyusun program-program pembangunan negara, kaum wanita diajak turut serta dalam proses ini. Sumbangan wanita diperlukan sebagai sebahagian daripada guna tenaga. Hal ini dapat dilihat dari dua sudut. Pertama, pengakuan daripada kerajaan bahawasanya sumbangan wanita diperlukan demi kemajuan dan pembangunan negara. Kedua, mengikut teori pembangunan, wanita diajak turut supaya serta dalam arus pembangunan negara, menyertai dan menikmati nikmat daripada proses ini.

Kesungguhan kerajaan terhadap potensi wanita sebagai penyumbang dan penerima nikmat dapat dilihat dengan jelas melalui program-program serta dasar-dasar yang telah dilaksanakan dalam masa dua dekad yang lepas.

• Pada tahun 1985, Kerajaan Malaysia telah menyiapkan sebuah Dasar Kebangsaan untuk Wanita sebagai panduan bagi penglibatan para wanita di dalam proses pembangunan. Dasar tersebut boleh membantu meningkatkan taraf kehidupan wanita dengan menangani cabaran-cabaran melalui pendidikan dan penghapusan kemiskinan.
• Status wanita telah menjadi objektif utama Rancangan Malaysia ke-6 (1991 – 1995), di mana sebuah dana khas disediakan untuk perkembangan wanita dan telah menjadi satu langkah yang penting di dalam menuju ke arah keperkasaan wanita-wanita di Malaysia. Rancangan-rancangan Malaysia seterusnya masih memberi perhatian kepada keperluan-keperluan wanita dengan cadangan untuk memajukan status mereka di dalam masyarakat.
• Dengan menyetujui pendapat-pendapat yang telah ditetapkan terlebih dahulu semasa Platform Beijing untuk Tindakan di Persidangan Sedunia PBB untuk Wanita yang Ke-Empat (1995), Kerajaan telah berjanji untuk 1) meningkatkan jentera kebangsaan untuk kemajuan wanita; 2) meningkatkan penglibatan para wanita dalam membuat keputusan; 3) mempertahan serta melindungi hak-hak wanita kepada kesihatan, pendidikan serta kesejahteraan sosial dan 4) mengatasi segala cabaran undang-undang serta amalan-amalan yang berunsur diskriminasi terhadap gender.
• Pada tahun 1995, Kerajaan juga telah memperkenalkan Konvensyen PBB yang berkaitan dengan Penghapusan Sebarang Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).
• Pada tahun 2001, Kerajaan telah menubuhkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat dengan diberikan mandat untuk mengendalikan isu-isu berkaitan dengan wanita serta mengangkat martabat wanita di negara ini.
• Perlembagaan Malaysia telah digubal semula pada Ogos 2001 yang melarang sebarang bentuk diskiriminasi yang berasaskan gender di dalam mana-mana undang-undang.

Pihak Kerajaan masih terus memainkan peranan yang penting di dalam menyokong untuk mencapai lebih kesaksamaan gender dalam negara ini, dengan menyediakan persekitaran yang sihat untuk memajukan wanita-wanita dalam arena kebangsaan dan juga antarabangsa. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang bertanggungjawab di dalam mengetengahkan isu-isu wanita di Malaysia telah diberikan peruntukan di mana ia telah ditingkatkan daripada RM 1.8 juta (US$ 0.5 juta) pada tahun 2001 kepada RM 30.5 juta (US$ 8.6 juta) pada tahun 2005, dan ia membuktikan bahawa negara ini amat serius di dalam komitmennya terhadap isu-isu wanita.

Satu cara pembelaan kaum wanita dalam bidang ekonomi ialah melalui kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kerajaan bagi menggalakkan penyertaan kaum wanita. Mengikut SMIDEC (Small and Medium Industries Corporation), sebuah agensi yang ditubuhkan kahs untuk membantu mereka yang ingin melibatkan diri dalam dunia keusahawanan pada tahap kecil dan sederhana, kira-kira RM46.6 juta telah diluluskan bagi tahun 2005 sebagai skim bantuan khas kepada usahawan wanita. Antara agensi pelaksana ialah ITAF (Industrial Technical Assistance Fund), SLSME (Soft Loan adn Medium Enterprises), PAKSI (Financial Package for SMIs) dan DKKP (Dana Khas Kerajaan Persekutuan).

Konsep Islam Hadhari yang dianjurkan kerajaan turut menekankan kepentingan wanita menerusi prinsipnya yang ketujuh iaitu Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita. Selaras dengan ini, kerajaan, melalui Dasar Wanita Negara telah menyenaraikan strategi-strategi bagi membantu pihak perancangan dan pelaksanaan pembangunan wanita dalam usaha tersebut:

1. Membangkitkan kesedaran, kepakaran dan kefahaman mengenai isu-isu dan kehendak wanita;
2. Menyalurkan isu-isu wanita menerusi agensi pusat kepada institusi-institusi pusat dan birokrasi kerajaan;
3. Merancangkan pengagihan sumber-sumber kepada pelbagai sektor;
4. Mendapatkan kerjasama sektor-sektor kerajaan dan antara kerajaan dengan sektor bukan kerajaan dalam proses pemusatan usaha-usaha bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam pembangunan.

Kerajaan turut menggubal suatu dasar dimana wanita diberikan hak 30 peratus diperingkat Pembuat Keputusan yang mana dasar ini telah dipersetujui oleh negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Persidangan Wanita Sedunia ke-4 di Beijing, China pada tahun 1995. Dasar ini menggesa agar semua anggota berusaha mencapai tahap sekurang-kurangnya 30 peratus daripada mereka yang memegang jawatan pembuat keputusan terdiri daripada wanita. Di Malaysia, pada tahun 2005, jumlah wanita yang memegang Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) ialah kira-kira 19.7 peratus berbanding sepuluh tahun dahulu, hampir tidak ada wanita memegang jawatan di dalam kategori ini.

Di samping itu, peranan dan ikatan kerjasama pihak bukan kerajaan (NGO) dengan kerajaan dalam usaha memajukan dan meningkatkan kedudukan wanita juga tidak dapat disangkal.

Perkongsian bijak yang diamalkan kedua-dua belah pihak telah dilaksanakan dengan baik dan bersungguh-sungguh dengan hasil yang memuaskan. Antara program-program pembangunan kerjasama kerajaan dengan NGO wanita ialah:

i. Literasi undang-undang yang bertujuan untuk membekalkan wanita dengan maklumat berkaitan undang-undang bagi kepentingan diri mereka;
ii. Latihan dan peningkatan dalam pelbagai kemahiran seperti bidang teknologi maklumat, kraftangan, perniagaan kecil dan lain-lain;
iii. Kepekaan gender bertujuan menimbulkan kesedaran terhadap semua isu gender oleh semua golongan masyarakat;
iv. Kempen kesedaran seperti gangguan seksual dan keganasan terhadap wanita;
v. Program yang menuju ke arah pembangunan kekeluargaan dalam usaha mengukuhkan institusi kekeluargaan dan menghasilkan ibu bapa yang bertanggungjawab.

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sebagai salah satu badan NGO yang peka terhadap golongan wanita turut mengadakan kerjasama erat dengan pihak kerajaan menerusi Unit Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM). MPWIM ditubuhkan dengan tujuan menjana tenaga kaum wanita Islam bagi mencapai matlamat pembinaan khairu ummah.

MPWIM terdiri daripada gabungan kepakaran wanita Islam dalam pelbagai bidang dengan berpandukan kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias. Misi penubuhan MPWIM ialah memanfaatkan kuasa intelek dan jiwa raga wanita agar bersedia untuk bertindak ke arah pembentukan ummah yang berkerja seolah-olah hidup selama-lamanya serta beribadah seolah-olah akan mati keesokan harinya.

Antara objektifnya ialah:

i. Menyatupadukan para intelek wanita dalam satu kesatuan pemikiran berasaskan Al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias serta dilengkapi dengan ilmu dan teknik terkini;
ii. Melahirkan idea-idea bernas untuk melaksanakan program yang dinamik dan berkesan;
iii. Menyatupadukan di antara badan-badan amal wanita menerusi penyelarasan dan kerjasama pertubuhan-pertubuhan wanita di bawah naungan YADIM;
iv. Menghasilkan satu manhaj dan landasan pemikiran yang kukuh sebagai teras perjuangan wanita dan hala tujunya.

MPWIM telah menjayakan menganjurkan beberapa program kewanitaan menerusi kaedah-kaedah antaranya:

a. Multaqa Pertubuhan Wanita Islam – mewujudkan hubungan bagi menjalinkan kerjasama antara organisasi wanita Islam dengan tujuan menjadikan pertubuhan wanita Islam rangkaian MPWIM dalam usaha menjana pergerakan mereka di negara ini.
b. Jalinan Mesra – mewujudkan kumpulan sokongan kepada warga sekolah supaya dapat menyumbang ke arah mencegah kemungkaran dan menangani permasalahan sosial remaja terutama pelajar sekolah dengan cara bijaksana.
c. Majlis Wanita OIC – menjalinkan kerjasama di antara wanita-wanita negara-negara OIC melalui forum perbincangan bagi menentukan hala tuju perjuangan wanita Islam sedunia.
d. Wacana Islam – membuat kupasan dan ulasan objektif mengenai isu-isu kepada golongan kaum wanita supaya peka kepada perkembangan semasa dan memahami perkembangan dan isu dengan tepat dan saksama;
e. Wanita Industri – mendekati kumpulan wanita yang berkhidmat sebagai tenaga industri dan meningkatkan kesedaran mereka bahawa kerja mereka adalah ibadah dan meningkatkan produktiviti adalah kewajipan agama yang penting selain mengingkatkan sahsiah wanita industri sebagai wanita Islam yang bermaruah dan mempunyai harga diri;
f. Tadika YADIM – mewujudkan tadika yang menjadi model kepada penubuhan tadika Islam yang boleh difrancaiskan ke seluruh negara;
g. Seminar Hak Asasi Manusia Dari Perspektif Islam – sebagai tujuan memaklumkan kepada masyarakat tentang pentingnya hak asasi manusia dalam Islam dan betapa hak ini mesti dipelihara dan diperjuangkan untuk memartabatkan setiap individu Muslim sebagai manusia yang mempunyai maruah diri.
h. Program: Tunas Remaja Bersahsiah – sebuah program yang bertujuan menangani gejala sosial menerusi usaha pencegahan di peringkat awal. Menerusi pembinaan sahsiah remaja dan menanam rasa tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

Selain daripada itu, MPWIM juga turut menganjurkan Anugerah Ibu Mithali sebagai satu wadah penghormatan kepada kaum ibu, insan yang banyak berjasa terutama dalam usaha memupuk generasi cemerlang akan datang. Anugerah ini pertama kali diperkenalkan oleh YADIM semenjak tahun 1980 dengan kriteria-kriteria pemilihan seperti berikut:

i. Ibu yang mempunyai sifat ketakwaan dan pengorbanan dalam menjayakan cita-cita perkembangan Islam dan mempunyai ciri-ciri ummul mukminin;
ii. Ibu yang unggul dalam sebuah keluarga bahagia dengan suasana dan lingkungan kehidupan Islam;
iii. Ibu yang mendidik anak-anaknya hingga mereka dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat;
iv. Ibu yang terkenal dengan kebolehan dan jasanya dalam masyarakat sekitarnya.

Semenjak diperkenalkan pada tahun 1980, seramai tujuh orang ibu telah dinobatkan sebagai tokoh Anugerah Ibu Mithali. Mereka adalah:
1. Hajah Enjah Mohd Arif (1980)
2. Hajah Wan Mas Ibrahi, (1983)
3. Hajah Wan Meriam Wan Ahmad (1985)
4. Hajah Zabedah Shahid (1988)
5. Hajah Ayot Razak (1991)
6. Hajah Maimon Abdullah (1994)
7. Hajah Kamariah Alang Mat Nasid (1999)

Tidak dapat dinafikan, peranan NGO wanita di Malaysia telah membuktikan keupayaan dan kesungguhan mereka dalam usaha membangunkan kaum wanita agar berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki. Peranan yang dimainkan beserta dengan kerjasama erat dengan kerajaan menunjukkan iltizam mereka dalam mengembalikan kegemilangan dan kedudukan wanita seperti zaman Rasulullah s.a.w. Segala dasar dan program yang dilaksanakan tidak lain adalah demi kebangkitan wanita. Mencapai kesaksamaan gender dan memperkasa wanita adalah perlu untuk mencapai pembangunan sosial, ekonomi dan politik.

Sesungguhnya wanita di Malaysia benar-benar dibela, baik dari perspektif undang-undang mahupun aspek-aspek penting lain dalam kehidupan wanita. Agama Islam telah meletakkan dan memberikan kedudukan yang mulia kepada wanita dan kerajaan Malaysia senantiasa memastikan bahawa kedudukan tersebut tidak tergugat.

Komentar
  1. amalina berkata:

    assalamualaikum.
    saya nak minta alamat MPWIM yang penuh beserta no telepon.
    saya nak buat kajian di organisasi ini.
    harap pihak tuan dapat beri kerjasama.
    terima kasih

  2. Think tank berkata:

    majlis perunding wanita islam malaysia (mpwim)
    yayasan dakwah islamiah malaysia (yadim)
    kompleks pusat islam
    jalan perdana 50480 kuala lumpur
    tel: 22746077/6089

  3. ara berkata:

    terima kasih…
    artikel ini sdkt sbyk telah mebantu sy dlm menyiapkan tugasan/kajian berkaitan ‘guna tenaga wanita dalam ekonomi pembangunan’
    kalau ada sebarang artikel yg berkaitan lagi blh la dikongsi bersama…
    tanks..
    =]

    • salma berkata:

      salam…sy ign mbuat egsment tntang pembangunan.sy telah memilih tajuk brkaitan pembngnan wanita.apa yg perlu sy crita tntang pembgnan wanita ini???

  4. YTUYUN berkata:

    assalamualaikum

  5. Have you ever considered about adding a little bit more than just your articles?
    I mean, what you say is important and all. But just imagine if you added some great photos or videos to give
    your posts more, “pop”! Your content is excellent but
    with images and clips, this website could definitely be one of the most beneficial in its niche.
    Great blog!

  6. kunci maruah adalah perempuan.jika seorang perempuan membuat perkara yang tidak baik,malu ditanggung oleh semua seluruh sukuoleh itu untuk menjaga maruah sesuku ,kaum perempuan diberi kedudukan ekonomi yang teguh.juga kepercayaan.perempuan dikawal dengan ketat waris lelaki dan permpuan biar pun sesuku dikenakan peraturan-peraturan adat sopan yang keras..
    kaum perempuan diangapkan sebagai sesuatu yg suci dan indah sebagai sumber kekuatan rumahtangga dan keselamatan dunia akhirat..

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s