Kedudukan ilmu dalam Islam

Posted: Jun 11, 2007 in think tank thought

Islam adalah nizam (sistem hidup) yang kamil (lengkap) dan syamil (menyeluruh). Islam terbina di atas asas yang kukuh. Islam terdiri daripada rukun-rukun yang besar hinggalah kepada cabang-cabang dan ranting-rantingnya yang kecil. Rukun, cabang dan ranting tertegak di atas asasnya dan saling perlu memerlu antara satu sama lain. Islam umpama pokok, bermula daripada biji benih, kemudian mengeluarkan akar dan pucuk. Seterusnya ia membesar dan membentuk batang, dahan, cabang, ranting dan dedaun hingga menjadi sebatang pokok yang rendang, tegak dan kukuh. Namun, setiap helai daun dihubungkan terus dengan akarnya.

Islam dalam bahasa Arab, bererti tunduk dan menyerah atau taat. Sebagai satu agama, Islam berdiri di atas dasar menyerah diri sepenuhnya dan taat kepada AIlah s.w.t. Islam juga bererti selamat dan sejahtera. Pengertian ini menunjukkan bahawasanya manusia tidak akan dapat menikmati keselamatan dan kesejahteraan yang sebenarnya, kecuali dengan jalan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t.

Islam merupakan satu landasan hidup. Beramal dengan Islam bererti melahirkan individu yang mencerminkan akidah dan akhlak Islam, melahirkan masyarakat yang berpegang teguh dengan pemikiran dan cara hidup (manhaj) yang dibawakan oleh Islam, menegakkan sebuah daulah atau pemerintahan yang melaksanakan Islam sebagai syariat perundangan, peraturan dan perlembagaan hidup serta memikul amanah dakwah yang menjadi petunjuk dalam menegakkan kebenaran dan keadilan.

Islam bukan satu agama yang hanya mempunyai ruang lingkup kehidupan peribadi manusia, seperti yang disalahertikan oleh kebanyakan orang Islam sendiri. Islam memberikan bimbingan untuk setiap langkah kehidupan sama ada perseorangan mahupun masyarakat, material dan moral, ekonomi dan politik, hukum dan kebudayaan, nasional dan antarabangsa.

Allah menerusi Al-Quran yang disampaikan oleh Utusan-Nya memerintahkan supaya manusia memeluk agama Islam secara keseluruhan, tanpa pilih-pilih, dan mengikuti semua bimbingan-Nya dalam segenap lapangan hidup.

Masyarakat Islam pula ialah masyarakat yang menterjemahkan tuntutan kalimah tauhid secara menyeluruh dalam kehidupan mereka. Setiap cabang dan bidang kehidupan masyarakat Islam dikuasai dan diawasi sepenuhnya oleh asas tauhid yang kukuh. Semua tindakannya terbit daripada pancaran cahaya akidah. Setiap permasalahan hidupnya di bina di atas perhambaan atau pengabdian kepada Allah s.w.t semata-mata.

Apabila manusia membebaskan hatinya daripada beriman kepada yang lain kecuali kepada Allah Yang Maha Esa serta berpegang teguh dengannya, manusia akan bebas daripada sebarang kongkongan ideologi lain. Pemikirannya hanya tertumpu kepada Allah s.w.t. Lenyaplah sebarang kekeliruan dan kekacauan yang menyesatkan manusia. Dia bebas daripada sebarang bentuk kemungkaran. Dia juga bebas daripada takut kepada kuasa-kuasa di dunia yang cuba menghalangnya untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t semata-mata.

Namun apa yang dikesali, praktik hidup umat Islam kini sedang menolak keterangan al-Quran al-Karim dan sunnah Rasulullah. Pelbagai hujahan menyesatkan dan mengelirukan dikeluarkan. Mereka menolak kekuasaan, kedaulatan dan janji-janji Allah s.w.t., menolak cara hidup yang diredai Allah s.w.t. untuk difahami, disedari, diyakini dan dilaksanakan.

Berbagai-bagai penyakit menyerang jiwa, fikiran dan tingkahlaku umat seolah Islam suatu barang dagangan. Islam sebagai cara hidup turut diperdagangkan di dalam hati orang-orang yang mengaku beriman. Rasa cinta kepada Islam sebagai cara hidup yang Allah redai sudah tiada. Rasa keperluan kepada pembentukan masyarakat Islam juga tiada. Yang wujud ialah realiti mempertikaikan kehendak-kehendak Allah s.w.t. Ini bererti mempertikaikan ketaatan yang Islam kehendaki, mempertikaikan nilai-nilai syarak, mempertikaikan akhlak dan mempertikaikan keperibadian Islam.

Pertikaian dan perbezaan dalam masalah agama dan dunia yang terjadi di kalangan umat ini dilatarbelakangi oleh faktor dan motivasi yang banyak dan berbeza-beza. Diantaranya, ada yang nampak dan ada juga yang tersembunyi, ada yang motivasinya untuk mengetahui kebenaran dengan dalil-dalil yang kuat. Dalam hal ini, menurut istilah para peneliti disebut ‘munazharah’ atau ‘jidal’. Dan ada yang menerima nasihat yang buruk, keras kepala, tipu daya, dan sifat bangga diri.

Pertikaian dan perbezaan ini berlaku adalah disebabkan faktor tidak mampu memahami setiap permasalahan secara menyeluruh, melakukan ‘taklid’ tanpa dasar dan dalil, fanatik terhadap sesuatu pendapat atau pemikiran, sikap dengki kepada orang lain, tamak kepada kepentingan diri dan mengikut hawa nafsu. Apa yang menyedihkan ada di kalangan umat Islam yang memulau dan menghukum umat Islam lain dengan syirik dan bidaah kerana orang lain tidak sama adat resam budayanya dengan mereka.

Malah mereka cuba memaparkan fahaman mereka untuk diserap kepada masyarakat lain. Dalam hal ini, mengapa mereka tidak menerima hakikat kejadian yang ditentukan Allah bahawa sememangnya manusia ini akan berselisih pendapat seperti dalam ayat dan firman Allah s.w.t, “Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Ia menjadikan manusia umat yang satu. Tetapi mereka senantiasa berselisih pendapat, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk itulah Allah menetapkan mereka,” (Surah Hud : 118-119).

Justeru, di situ letaknya kepentingan menuntut ilmu. Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesiapa yang inginkan dunia, maka hendaklah dia menuntut ilmu, siapa yang inginkan akhirat, maka dia perlu menuntut ilmu dan sesiapa yang ingin kedua-duanya maka hendaklah ia menuntut ilmu.”

Masyarakat yang berilmu dan menguasai ilmu mempunyai akhlak dan akal yang adil serta jujur dan tidak akan melakukan sesuatu yang salah bukan sahaja kerana ia melanggar undang-undang negara dan hukum Islam, tetapi juga kerana ia melanggar asas akhlaknya. Sayidina Ali bin Abi Talib mengatakan, “Tiada kekayaan lebih utama daripada akal. Tiada kepapaan lebih menyedihkan daripada kebodohan. Tiada warisan lebih baik daripada pendidikan”.

Mereka menjauhkan diri daripada tindakan dan pemikiran yang tidak adil dan tidak jujur bukan hanya kerana melanggar hukum tetapi juga kerana mereka sendiri mempunyai sikap dan akhlak yang antiketidakadilan dan ketidakjujuran. Mereka juga akan sentiasa menjunjung dua petunjuk yang nyata iaitu al-Quran dan hadis Rasulullah selain ijmak dan bermusyawarah dalam setiap perbuatan dan bagi mencapai sesuatu keputusan. Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya serigala itu hanya akan dapat memakan kambing yang tersisih (dari kumpulannya)”.

Renung-renungkanlah:

Jawapan-jawapan dari Sayidina Ali bin Abi Thalib ketika ditanya mengenai antara keutamaan ilmu dengan harta:

“Ilmu lebih utama daripada harta, Ilmu adalah pusaka para Nabi, sedang harta adalah pusaka Qarun, Sadad, Firaun, dan lain-lain”.

“Ilmu lebih utama daripada harta, kerana ilmu itu menjagamu sedangkan harta malah engkau yang harus menjaganya”.

“Harta itu bila engkau tasarrufkan (berikan) menjadi berkurang, sebaliknya ilmu jika engkau tasarrufkan akanbertambah”.

“Pemilik harta disebut dengan nama bakhil (kikir) dan buruk, tetapi pemilik ilmu disebut dengan nama keagungan dan kemuliaan”.

“Pemilik harta itu musuhnya banyak, sedangkan pemilik ilmu temannya banyak”.

“Ilmu lebih utama daripada harta, karena diakhirat nanti pemilik harta akan dihisab, sedangkan orang berilmu akan memperoleh syafa’at”.

“Harta akan hancur berantakan kerana lama ditelan zaman, tetapi ilmu tidak akan rosak dan musnah walau ditelan zaman”.

“Harta membuat hati seseorang menjadi keras, sedang ilmu membuat hati menjadi bercahaya”.

“Ilmu lebih utama daripada harta, kerana pemilik harta bisa mengaku sebagai Tuhan akibat harta yang dimilikinya, sedang orang yang berilmu mengaku sebagai hamba kerana ilmunya”.

Pak Hamka pula berkata: “Ada ilmu ada harta jadi orang mulia, ada ilmu tidak ada harta jadi hamba orang, kalau tidak ada ilmu tidak ada harta jadi binatang.”

Komentar
  1. [...] ILMU DALAM ISLAM Ditulis pada Februari 13, 2008 oleh blue5black8heart7 KEDUDUKAN ILMU DALAM ISLAM( http://bobex.wordpress.com/2007/06/11/kedudukan-ilmu-dalam-islam/ ) Islam adalah nizam (sistem [...]

  2. syanoer berkata:

    assalammualaikum,
    maksih ya atas tulisan blognya
    dan semoga blognya semakin bagus aja

  3. nuri berkata:

    SRING2 KSIH YNG TERBAIK…

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s