Seks. Ahli falsafah Barat Sigmud Freud menyatakan libido (sex) adalah pendorong aktiviti manusia, maka itu, media dan hiburan sangat menekankan hal ini sebagai daya tarikan, tanpa memperhitungkan bahaya yang ditimbulkan. Hasilnya, di Barat, melalui ‘pandangan rosak’nya mengenai seks, memberikan kesan yang sangat mengerikan dengan prinsip seks bebas.

Negara Barat mula menyedari pentingnya pendidikan seks selepas melalui zaman kegelapan pada abad pertengahan. Selepas tempoh pengenalan pendidikan seks, Barat telah berlebihan dalam pendekatan dan sikapnya terhadap pendidikan seks dan seks itu sendiri. Penekanannya adalah lebih kepada aspek teknikal seperti bagaimana mengelakkan kehamilan di kalangan wanita, contohnya, penggunaan kondom ketika melalukan seks.

Itu di Barat. Di sini, khasnya di Malaysia bagaimana pula? Mungkin jika kita juga ghairah hendak mengikut Barat, mungkinkah vcd lucah yang sebelum ini dianggap ‘sampah’ akan menjadi ‘buku teks dan rujukan’? Pelakon-pelakon adegan ranjang akan lebih dikenali di kalangan pelajar berbanding para ilmuwan, ulama dan pemimpin?. Jikalau pendidikan seks yang dilaksanakan di Barat itu berjaya mengubah kehidupan seks mereka, pastinya ia boleh dijadikan model perlaksanaan di Malaysia. Namun, hakikatnya semakin diajar semakin melampau. Tidakkah di Malaysia juga akan terjadi perkara yang sama?

“Pendidikan seks dalam erti yang difahami secara popular di Barat dan yang cuba dimasukkan ke dalam negeri-negeri Islam melalui perogram-program atas nama kesihatan dan hak-hak asasi manusia tidak boleh disebut sebagai penyelesaian kepada masalah kehidupan seks bebas.” Demikian ditekankan oleh Dr. Muhammad Uthman Muhammady, Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa (ISTAC) ketika membicarakan tentang isu pendidikan seks di sini baru-baru ini.

Ini kerana tegas beliau, sebagaimana yang dilaporkan dalam buku Germaine Greer –antara pejuang-pejuang kebebasan seks- ialah ia tidak mengekang seks bebas, bahkan ia membantu dalam mengembangkan budaya  seks bebas.

“Kalau di Barat ini di dokong oleh fahaman  falsafah tentang nilai-nilai yang kata mereka berubah-ubah; dalam Islam nilai-nilai baik-buruk sebagaimana yang ada dalam al-Quran dan sunnah serta ijma’ tidak berubah, zina tetap salah; demikian  juga seks antara sesama jenis baik lelaki dan  wanita; demikian pula derhaka kepada dua ibu bapa dan derhaka kepada suami, dan menzalimi isteri dan memperlakukannya sebagai objek seks semata,” ujarnya.

 

Sistem Pendidikan Seks Ala Barat

Melalui sistem pendidikan sekular, Barat memperkenalkan konsep pendidikan seks sebagai elemen penting dari kurikulum pendidikan. Kanak-kanak dan remaja akan dipengaruhi secara perlahan-lahan dengan nilai-nilai seks Barat di institusi-institusi sekular dengan alasan pendidikan.

Budaya ‘katakan tidak kepada seks sebelum nikah’ mewujudkan dorongan terhadap seks secara eksperimentasi dalam bentuk masturbasi, berpasang-pasangan (coupling), melihat bahan-bahan lucah dan amalan-amalan lain yang songsang.

Justeru itu kata Dr. Muhammad Uthman, pendidikan seks ala Barat jelas tidak menyelesaikan masalah bahkan ia boleh menambah lagi masalah. Apa yang penting, tambah beliau adalah pendidikan keluarga yang menyeluruh yang didalamnya diajarkan secara objektif tugas-tugas dan hak-hak lelaki dan  wanita  serta hubungan yang wajar antara mereka dalam konteks kesedaran agama yang serius dan bukan main-mainan yang menyeronokkan (fun).

“Erti dan kepuasan hidup dalam keluarga (termasuk amalan hidup kelamin yang beradab dan berjaya) berjalan dalam susana yang disebutkan dalam al-Quran yang bermaksud:“…dan kami (tuhan) menjadikan dalam kalangan kamu ketenangan/kepuasan, kasih sayang dan kasihan belas” (Ar Rum:21),” ujarnya.

Oleh yang demikian itu, tegas beliau, pendidikan seks ala Barat sememangnya ‘taboo’ pada Muslimin. Walau bagaimanapun, pendidikan tentang tugas-tugas keluarga dan kedudukan hidup kelamin di dalamnya bukan ‘taboo’ tetapi ia suatu kewajipan; tetapi hendaklah disampaikan pelajaran itu sesuai dengan keperluan dan had umur yang munasabah dengan anak-anak yang terlibat di dalamnya.

 

Pendidikan Seks Mengikut Acuan Islam

Pendidikan seks di sekolah-sekolah di Malaysia bukannya suatu silibus yang baru, malah ia telah melalui peringkat pengenalan, pindaan, pengenalan semula disertai dengan pelbagai respon sokongan dan tidak terkecuali bantahan.

Satu persoalan boleh ditimbulkan, adakah silibus Pendidikan Seks tersebut telah berjaya menyelesaikan masalah muda mudi sekarang yang semakin sukar dikawal? Nampaknya jawapan kepada soalan ini adalah kurang memuaskan dan buktinya adalah realiti dan fakta-fakta yang telah terpampang di hadapan mata kita saban hari dan saban tahun.

Justeru itu, Dr. Muhammad Uthman berpendapat,  menyentuh  sukatan pelajaran  untuk pendidikan ini antara kandungannya ialah perlunya diajar tentang kewajipan percaya kepada tuhan dengan dalil-dalil yang meyakinkan (sama ada dalil rasional dan dalil nas agama), kewajipan manusia taat kepada tuhan dan bertakwa terhadapnya.

Selain itu, tambah beliau, perlu juga dimasukkan maklumat-maklumat berkenaan dengan perkembangan badan dan jiwa manusia yang menyentuh soal hidup kelamin, tanda-tanda akil baligh, perubahan yang berlaku, keperluan kepada hidup keluarga,  gambaran tentang  sistem penglahiran  zuriat badan manusia, alat kelamin, soal haidh dan nifas (kalau wanita), hubungan kelamin yang halal dan tabie dan yang tidak tabie,  proses mengandung, pembentukan janin dalam rahim, kelahiran anak (yang gambarannya ada dalam al-Quran awal surah mukminun), penyakit-penyakit kelamin (segi perubatan dengan huraian dari sudut hukum dan nilai-nilai islam), segi-segi hidup emosi, kekeluargaan dan kemasyarakatan pada anak-anak belasan tahun, dan ajaran akhlak menyentuh agama dan masyarakat, kewajipan  menjaga diri dalam pergaulan dengan rakan sebaya dan membawa diri supaya terselamat daripada budaya kehidupan jantina yang menyeleweng.

“Kalau kepada kanak-kanak yang belum ada keperluan untuk mengetahui perkara itu, itu tidak perlu diberikan pendedahan kepada mereka  secara khusus, memadai dengan menyentuh perkara itu dalam masa berbicara tentang bersuci, haidh, nifas, yang memang diwajibkan; kalau kanak-kanak yang sudah besar , yang tahu tentang naluri  seks itu, tetapi mereka belum perlu berkahwin, maka pendedahan perlu diberikan  setakat yang memadai dengan cara yang serius, objektif, faktual, berserta  dengan penerapan kesedaran tentang menjaga kesucian hidup kelamin sebagaimana yang dikehendaki dalam quran, sunnah,hukum syara’ dan ajaran kerohanian.

Tegasnya, pendedahan kepada rangsangan terhadap amalan-amalan yang terlarang hendaklah dielakkan; dan cara pendedahan hendaklah serius – kerana ini membawa implikasi yang teramat serius kepada manusia  sebab ia menyentuh perkara asasi yang menjadi mesej utama syarak: akal, jiwa, keturunan, harta, maruah diri manusia. Soal kehidupan kelamin menyentuh zuriat keturunan, kerukukan keluarga, hidup emosi dan rohani manusia, juga maruah diri, bahkan termasuk ke  dalamnya soal harta.

“Sebagaimana yang dikatakan, pendedahan secara yang meransangkan mereka kepada perkara-perkara haram hendaklah jangan dilakukan. Misalnya  dalam satau laman web di britain (http://www.independent.co.uk/news/education/schools/keep-the-faith-should-muslim-children-receive-sex-education-1756750.html) disebut bagaimana amalan homoseks dibincangkan dalam sekolah, dengan dibawa alat-alatnya yang membantu dalam kegiatan  demikian, kita boleh andaikan bahawa kalau perbincangan tentang hubungan lesbian juga dibicarakan dengan alat-alatnya boleh ditunjukkan. Dalam laman web itu dilaporkan bagaimana ibu-ibu bapa muslim membantah pendidikan yang sedemikian sebab itu bercanggah dengan prinsip-prinsp dan nilai-nilai islam.ertinya kalau di malaysia perkara  yang sedemikian tidak boleh berlaku dan pihak yang berwajib mesti menghalangnya daripada berlaku.

Selain itu, mereka yang bersedia untuk berkahwin juga diberikan lagi huraian-huraian tentang hidup kekeluargaan, tugas-tugas dan hak-hak mereka dalam keluarga, kebaikan keluarga berangkai  dan  kekurangan-kekurangan pada keluarga nukleur.

“Demikian pula pendidikan tentang tanggungjawab yang berkaitan dengan hidup kelamin yang perlu, mungkin, dihuraikan secara yang lebih lagi daripada dahulu (dahulunya di huraikan dalam bab haidh dan nifas, dalam perkara bersuci, dan dalam bab kitab tentang perkahwinan dalam fiqh)  sekarang ini memerlukan kepada tambahan lagi untuk menangani kejahilan yang menimbulkan masalah dalam masyarakat, yang membawa kepada zina dan pelbagai salah laku yang berkaitan dengan hubungan jantina itu,“ jelasnya.

Tambahnya lagi, pendedahan tentangnya hendaklah dilakukan oleh guru secara beradab, berdisiplin, dalam suasana serius dan bertanggungjawab, dengan kesedaran tentang dosa dan pahala, bukan dalam semangat bermain-main dan berseloroh, apa lagi bersikap lucah.

“Bagi non-muslim mereka perlu didedahkan hal itu dalam konteks ajaran moral dan agama mereka. Sudah tentu pendedahan subjek ini  secara  popular di barat yang menimbulkan kesan yang buruk misalnya sebagaimana yang disebut oleh Germaine Greer dalam buku-bukunya adalah tidak sesuai dibuat sedemikian di Malaysia,” ujarnya.

Allah menciptakan manusia dan sekaligus peraturan bagi menjawab segala persoalan manusia. Bahkan Islam muncul untuk memberikan cara penyelesaian dan cara pemenuhan yang benar termasuklah dalam hal pemenuhan naluri seksual (gharizah an-nau’).

Justeru itu, jelas Dr Muhammad Uthman, apa yang datang dari Allah SWT memang lengkap dan sempurna, dari segi perkara-perkara yang asasinya, dan beberapa segi pendetailannya, mengajak manusia kembali kepada fitrah insan adamiah, kepada agama fitrah dan aturan-aturan rohani, akhlak, dan syarak yang semuanya dari fitrah  sediakala.

“Memang benar bahawa al-Quran mengajarkan tatatertib hidup kekeluargaan (yang merupakan unit masyarakat yang mula-mula sekali  selepas daripada individu)  mulai daripada fungsi keluarga sebagai markas terawal pendidikan rohani dan agama (dalam ayat yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, selamatkanlah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu,” Tahrim:6), dan perintah diberikan supaya menyuruh ahli keluarga melaksanakan sembahyang (dalam ayat yang bermaksud: “Suruhlah ahli keluarga kamu mendirikan sembahyang dan bersabar dengannya (Taha:132).

“Bersekali dengan itu disuruh supaya menjaga gerak-geri dalam keluarga sehingga anak-anak dan (dahulu termasuk hamba sahaya) supaya meminta keizinan untuk masuk ke dalam tempat orang dewasa pada tiga waktu; sebelum subuh, waktu tengah hari orang berehat, dan waktu orang beredar ke bilik tidur dalam waktu bila mana keadaan pakaian tidak sempurna (Nur:58),” jelasnya.

Tambah beliau lagi, dalam sebuah hadis Rasulullah SAW juga ada menyuruh agar mengasingkan tempat tidur anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan bila  sampai had umur yang berkenaan (hadis abu daud diriwawat oleh as-sabura).

“Bila mengajar tentang sembahyang  diajarkan pula bersuci yang melibatkan anggota  sulit badan termasuk maalah-masalahnya seperti haidh dan nifas, bahkan peningkatan umur akil baligh  memerlukan sebutan tentang bermimpi keluar mani atau bermimpi bersetubuh dan cukup umur, serta kalau perempuan keluar haidh.

“Bila  ditangani isu-isu ini dalam keluarga (yang merupakan fardhu ain) maka persiapan untuk memahami masalah-masalah yang berkaitan  dengan alat kelamin  dan fungsinya  berlaku  dengan baik. Berserta dengan ajaran tentang kewajipan menuntut aurat dan pengharaman  zina  serta tatatertib pergaulan antara lelaki dan perempuan.

“Dengan ini maka kita lihat bahawa peranan keluarga adalah sesuatu yang sedemikian menentukan dan ini boleh difahami lagi dengan nyata bila diingatkan hadis yang bermaksud: “Tiap-tiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikan dia yahudi, nasarani atau majusi” (hadis  riwayat muslim hadis 6426), tegasnya.

 

Pemerkasaan Hidup Institusi Keluarga Secara Islam

Bagi melihat kepada kejayaan suatu sistem nilai di dalam suatu negara itu, Dr. Uthman menegaskan bahawa secara ringkasnya, kejayaan sesebuah negera dari segi pendidikan ialah sejauh mana sistem itu berjala melahirkan manusia yang beriman, mempunyai keyakinan agama dan rohani yang  tinggi,  yang berpengetahuan luas, yang berketrampilan dalam bidang-bidang yang diperlukan oleh negara, yang stabil emosinya,  baik cara berfikirnya, boleh menilai sesuatu secara adil seksama, yang berkesan dan jernih hidu rohaninya, yang berhubung dengan orang lain secara damai dan berkerjasama, yang mendatangkan kestabilan kepada masyarakat, negara, dan lebih jauh lagi, di mana yang berkenaan, kepada umat.

“Negara yang sedemikian ekonominya baik dan stabil, paling kurang atau terhapus kemiskinan,kemelaratan, hidup masyarakat aman, pertahanan teguh dan berkesan, dan quran menyebut negara sedemikian sebagai “negeri yang baik dan T uhan maha pengampun” (surah saba ayat 15).

“Dalam suasana yang unggul sedemikian tidak timbul membuang bayi sebab orang tidak berzina dan kehidupan berumahtangga berjalan dengan harmonis dan baik. Kalau berlaku salah laku amalan kelamin orang dikenakan tindakan yang memberi pengajaran kepada semua,” ujarnya.

Justeru, untuk suasana sedemikian timbul, jelas beliau maka perlu ada kerjasama yang sepadu antara semua pihak: pemerintah, ulama, pendidik, intelektuil, media, (termasuk media alternatif yang komited kepada nilai-nilai yang unggul dan mulia) aktivis masyarakat, budayawan, para penulis,  NGO-NGO, dan golongan muda.

Namun, apa yang penting, jelas beliau adalah pemerkasaan hidup institusi keluarga secara Islam seharusnya menjadi tuntutan atas semua pihak supaya suasana menjadi sejahtera dan selamat.

Beliau juga mencadangkan supaya diadakan program penyerasian antara tiga institusi akar umbi : keluarga, masjid dan sekolah secara berterusan  supaya genarasi muda  didedahkan kepada nilai—nilai dan prinsip kehiduan  yang sama dan seragam dalam institusi-institusi aka umbi itu.

“Ini memerlukan kerjasama berterusan antara para guru, ahli agama dan ketua-ketua keluarga. Bila prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang seragam diperteguhkan dalam diri anak-anak muda maka ia membesar dalam keadaan mempunyai kefahaman yang benar dan menyelamatkan; mudah-mudahan itu akan memberinya panduan yang berkesan. Sudah tentu ini perlu diperkukuhkan dengan program-program lain yang berkaitan,” ujarnya.

Atas Nama Setiakawan

Posted: Ogos 1, 2011 in think tank thought

Pahat dan ukir setiakawan yang sama kita tukulkan itu

adalah yang satu-satunya kita ada, dan ia milik kita

kita buhul sebagai bukti cinta

kesolidan yang kita tabal

adalah takhta kebersamaan kita

tangismu – tangisku

tawamu – tawaku

pahat dan ukir setiakawan

memahat kita satu – jitu

jangan dibiar lerai dan terabai

di mana hatimu – hatiku

ehsanmu – kasihku

cintamu – budiku

engkau – aku

A. Wahab – HUKM 12 Jun 2011

AmarahKu

Posted: Julai 29, 2011 in Pencetus minda

Dengan Darah Melayu Yang Mengalir Disegenap Tubuhku,
Selagi Itu Jangan Kau Harap Kaki Kau Di Kepala Ku,
Megah Kau Hanya Yang Silam,
Lagak Kau Hanya Kosong Dan Kelam,
Bangga Kau Kepada Yang Bangang,
Cerita Sendiri Apa Dikarang,
Hormat Aku Pada Yang Hormat,
Bukannya Tidak Bersyukur pada Rahmat
Bila TubuhKu Mula Berpencak,
Waktu Itu Baru Kau Tahu Melayu Berentak

- RON ART 2010

Kembali Kepada Wahyu

Posted: Julai 29, 2011 in think tank thought

“Macam mana baby boleh ada dalam perut ibu?,” anak saudara saya yang baru berusia tiga tahun bertanya. Saya tergamam.

“Baby kena duduk dalam perut ibu. Nanti bila perut ibu dah tak muat lagi,  baby keluar la,”  kata saya cuba memberikan penerangan kepadanya dan mujur pertanyaan beliau hanya setakat itu sahaja.

Siapa yang boleh menjangka soalan itu akan ditanya oleh anak sekecilnya. Walau tidak pula saya cuba menidakkan lumrah bahawa seiring dengan peningkatan usia, anak-anak akan mula memerhati, menyedari dan kemudian mempersoalkan persamaan dan perbezaan antara adik-beradik berlainan jantina. Menerusi pendedahan media massa terutama televisyen dan internet, tidak mustahil soalan-soalan yang lebih ‘mencabar minda’ akan mula ditanya.

Atas kesedaran ini, ibu bapa dan guru harus memainkan peranan yang besar bagi mencari pendekatan yang cukup berhemah dan bestari dalam memberikan pengetahuan asas tentang seks kepada anak-anak. Tambahan pula dengan cabaran yang semakin rencam terutama menerusi media baru tanpa sempadan dengan meningkatnya kes-kes berkaitan seksualiti seperti zina yang membawa kepada pembuangan bayi, rogol dan sebagainya inilah maka desakan kepada pelan tindakan dan mekanisma bestari yang berkesan kalaupun tidak berupaya menangani sepenuhnya, dapat mengurangi permasalahan ini.

Saranan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah telah diumumkan akan diperkenalkan mulai tahun 2006 lagi. Kenyataan ini dibuat pada Disember 2005 (New Straits Times, 21 Disember 2005). Namun, sehingga kini, cadangan ini masih kabur. Tidak kurang juga dengan pelbagai reaksi diperlihatkan oleh masyarakat yang mengundang seribu satu persoalan – Adakah sememangnya pendidikan seks ini perlu diajar? Jika perlu, apakah asas sistem nilai yang melandasi kurikulumnya? Apa yang hendak diajarkan? Bagaimana ia hendak disampaikan? Siapa yang hendak menyampaikan? Apa objektif pengajarannya? Apakah aras yang hendak capai dalam pengajarannya?

Menurut Professor Madya Dr. Fauzi Deraman, Pensyarah di Jabatan Al-Quran dan Hadis Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, tanpa mengira isu nama yang sesuai kepada pendidikan ini, perkara pokok yang perlu diberi perhatian adalah pengisian kepada pendidikan tersebut.

Mendedahkan perkara-perkara yang berkaitan seks ini, tambah beliau perlu dilihat kesesuaiannya dengan usia anak-anak. Pendedahan ini perlu mengambil kira tahap keupayaan memahami dan keperluan anak-anak. Diperingkat awal usia, pendedahan awal seperti memperkenalkan organ seks, fungsi dan kesan ke atas diri, keluarga dan masyarakat sekiranya disalahertikan mungkin boleh diusahakan.

Beliau juga melihat pendekatan yang ada sekarang sudah terlalu lewat untuk membendung masalah sosial yang melibatkan seksualiti. Ini menurutnya adalah kerana tiada siapa yang dapat memastikan usia akil baligh seseorang.

“Mungkin di waktu sekolah rendah lagi, mungkin sewaktu darjah lima, mungkin juga sewaktu darjah enam,” tambah beliau.

Pengisian kepada pendidikan seks juga pada pandangan beliau perlu diselaraskan secara bersepadu. Ujarnya, di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranan. Hal ini kerana anak-anak lebih dekat dengan ibu bapa, justeru ibu bapa harus bestari dalam memberikan pendekatan dan pendedahan seks kepada anak-anak. Selain itu, tambah beliau di peringkat sekolah pula, pendidikan seks boleh diselitkan di dalam mana-mana mata pelajaran mengikut kesesuaian seperti sains dan pendidikan jasmani mengikut kesesuaian umur.

Selain itu jelas beliau pendekatan berterus-terang itu adalah suatu yang baik. Kadang-kadang anak-anak akan memerhati dan bertanya dari mana asalnya mereka? Bagaimana ibu bapa memberikan penerangan kepada anak-anak perlu sesuai dengan keadaan dan usia anak-anak pada masa itu supaya mereka mudah memahaminya.

“Kaitkan juga dengan elemen akidah. Ini kerana, jika tidak dikaitkan dengan isu halal-haram, boleh dan tidak boleh sesuatu perbuatan, segala usaha tidak akan ke mana. Masalahnya kita lebih mengajar dari mengasuh sedangkan mengasuh itu lebih penting dari mengajar. Kita juga lebih menyampaikan informasi. Faham atau tidak, tidak tentu lagi.

“Aspek keimanan juga perlu ditekankan kerana jika jiwa kosong tanpa iman dan tanpa dimasukkan pendekatan akidah ia tidak akan membawa kita ke mana-mana. Justeru, tidak hairanlah sekiranya remaja berusia seawal tujuh tahun sudah mula melakukan pra zina,” tegas beliau.

Bagi melaksanakan pendekatan ini, elemen-elemen salah faham juga perlu dihindarkan. Menurut Dr. Fauzi, masyarakat yang ortodoks sering melihat pendidikan seks sebagai suatu yang ‘taboo’ dan memalukan. Tetapi adalah lebih memalukan sekiranya keterlanjuran itu berlaku.  Oleh hal yang demikian itu, pandangan ini perlu dikikis.

Asas pendidikan seks ini juga perlu dilihat dan seharusnya berlandaskan objektif mencapai kesejahteraan ummah. Ini juga tegas beliau bertepatan dengan matlamat syariah iaitu untuk menjaga agama, maruah dan keluarga. Inilah perkara penting yang perlu diaplikasikan.

“Isu berbangkit terutama membabitkan keruntuhan akhlak remaja adalah respon kepada isu tersebut. Jadi, jika kita tidak melihat kepada akarnya, isu ini tidak akan ke mana-mana. Justeru, masing-masing ada dan perlu memainkan peranan tersendiri dengan serius.”

Islam telah mengajar segalanya termasuk pendidikan seks. Misalnya, mengajar agar diasingkan tempat tidur anak lelaki dan anak perempuan yang mencapai usia sepuluh tahun. Malangnya, tegas beliau apa yang berlaku kini adalah keruntuhan sistem nilai akibat kecuaian ibu bapa memainkan peranan mereka secara berkesan. Ibu bapa tidak mendedahkan anak-anak dengan sumber agama.

“Jika kajian Durex 2005 yang mengatakan aktiviti seks kerap berlaku di dalam bilik tidur utama atau bilik tidur ibu bapa, ini membuktikan bahawa ibu bapa cuai dalam menjalankan tanggungjawabnya,” jelas beliau.

Oleh hal yang demikian, beliau menegaskan pemantapan elemen nilai merupakan perkara penting dalam pendidikan seks ini. Beliau turut mencadangkan kefahaman tentang pendidikan ini diberikan kepada ibu bapa supaya mereka dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan dalam mendidik anak-anak berkenaan pendidikan seks ini.

“Di sini peranan media massa penting. Media massa merangkumi media cetak dan elektronik berperanan ‘mengiklankan’ ilmu pengetahuan kepada ibu bapa.

“Peranan keluarga terutama ibu bapa cukup besar. Kelonggaran sistem kekeluargaan memberikan implikasi yang cukup besar kepada masyarakat. Pendekatan agama dan kesedaran untuk kembali kepada elemen nilai mengikut tradisi Melayu Islam dan Timur berpaksikan agama adalah jawapan bagi menangani pelbagai permasalahan,” ujar beliau.

Punca remaja terjebak (5K)

Penyebab

Ciri-ciri

  1. KEMAHIRAN (pencapaian akademik)
Terdiri daripada pelajar yang kurang menyerlah pencapaian akademiknya.
  1. KOMUNIKASI
Tidak pandai berkomunikasi.
  1. KENDIRI
‘self esteem’ yang kurang.Kurang keyakinan.
  1. KAWALAN DIRI
Tidak pandai mengawal diri daripada terjerumus dan menangkis ajakan negatif dari rakan sebaya.Satu kajian yang dilakukan mendapati rakan sebaya memainkan peranan penting salah laku dan betul laku dengan peratusan sebanyak 27 peratus.
  1. KEBOLEHAN MENANGANI MASALAH
Tidak mampu mencari jalan keluar dalam menangani masalah. Faktor ini dilihat menyebabkan remaja terlanjur mengambil jalan mudah membuang dan menggugurkan kandungan hasil hubungan seks tanpa nikah.

 

Mengejutkan? Atau mungkin ada yang beranggapan bahawasanya penyataan ini adalah satu lawak jenaka. Ini bukan lawak jenaka. Bukan juga sesuatu yang mustahil dan mengejutkan kerana perlu diperakui, dunia tanpa sempadan dan batasan ini telah melahirkan golongan remaja yang menerima perlakuan ‘pra zina’ seperti berpegangan tangan, berpeluk, pergaulan tanpa batas dan bercium sebagai suatu yang normal.

Pra zina dilakukan pada mulanya adalah untuk suka-suka dan meniru. Demikian pendedahan yang dibuat oleh Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Khaidzir Ismail.

Menurut beliau, walaupun secara psikologi peringkat remaja mula terjebak adalah ketika remaja berumur 13 tahun, tetapi kajian menunjukkan remaja telah melalui peringkat pra zina sebelum itu lagi. Kajian yang pernah dijalankan beliau sebelum ini juga menunjukkan remaja lelaki mula melancap pada umur tujuh tahun.

“Dia tidak tahu apa-apa, tetapi perbuatan itu dilakukan hanya untuk berseronok dan meniru.”

Menurutnya lagi, kanak-kanak dari usia tujuh hingga 11 tahun telah melalui pra zina menerusi pendedahan oleh media massa terutama televisyen, internet, pembacaan dan interaksi dengan rakan yang lebih dewasa selain faktor pemakanan.

“Mereka tengok internet, televisyen dan video dan kemudian meniru perlakuan yang ditonton. Pendedahan awal ini sebenarnya mempercepatkan lagi proses keremajaan. Remaja zaman dahulu, ketika berada di tingkatan tiga dan empat baharu mula terdedah, tetapi remaja sekarang usia tujuh hingga sembilan tahun sudah mula terdedah,” tegas beliau.

Golongan remaja yang terjebak juga menurut Dr Khaidzir tidak berasa bersalah dengan perbuatan dan perlakuan sumbang mereka.

“Sudah lumrah remaja sentiasa ingin mencuba. Pada tahap umur 10 hingga 13 tahun, keadaan hormon remaja pada masa itu membuatkan remaja memiliki perasaan ingin mencuba yang tinggi ditambah pula dengan pendedahan kepada media massa terutama televisyen dan internet selain faktor persekitaran.”

Perlakuan remaja pada hari ini adalah disebabkan oleh pengaruh dan penyebab yang pelbagai. Dr Khaidzir menjelaskan punca dan penyebab remaja boleh terjebak kepada aktiviti tidak sihat ini disebut sebagai 5K yang terdiri daripada kemahiran atau pendidikan, komunikasi, kendiri, kawalan diri dan kebolehan menangani masalah.  Remaja yang selalu terjebak, menurut beliau adalah golongan remaja yang memiliki kualiti 5K yang rendah terhadap tekanan dan pengaruh persekitaran.

Selain itu, menurut beliau, pendedahan kepada pra zina menerusi media massa dan persekitaran menyebabkan remaja menjadi golongan yang sering dilihat kerap menimbulkan masalah. Apabila ditanya mengenai kumpulan remaja yang terdedah dengan risiko melakukan zina dan pembuangan bayi, beliau menyatakan bahawa terdapat dua kategori remaja yang berpotensi.

“Dua kategori itu ialah remaja yang berisiko dan kurang berisiko. Remaja yang berisiko terdiri daripada remaja yang membesar dalam keadaan keluarga miskin, keluarga berantakan, mempunyai adik-beradik yang ramai selain keadaan rumah yang kecil.

“Mereka pada awalnya tidak berisiko, tetapi oleh kerana persekitarannya yang berisiko, lalu mereka keluar bergaul dengan rakan-rakan sebaya sehingga terjebak. Kajian yang kita buat baru-baru ini mengenai belia satu Malaysia yang bermasalah menunjukkan antara punca utama adalah rakan sebaya. Ini menunjukkan pengaruh rakan sebaya memainkan peranan penting.

Menurut belia, pengaruh rakan sebaya menyumbang sebanyak 27 peratus kepada salah laku dan baik laku remaja. Kajian juga menunjukkan pengaruh ibu bapa terhadap remaja hanya tujuh peratus sahaja.

“Ini membuktikan bahawasanya selama 15 tahun kita menjaga anak kita misalnya, hanya tujuh peratus sahaja dia dengar, tetapi jika dia keluar berjumpa rakan sebaya tidak dikenali walau hanya satu, dua jam sahaja, pengaruhnya cukup besar.

Walau bagaimanapun, beliau akui pengaruh rakan sebaya ini juga tidak dapat dinafikan menyumbang kepada pengaruh yang baik.

Ditanya tentang pengetahuan awal seks di kalangan remaja, beliau menegaskan, berdasarkan kajian dan pengalaman, ibu bapa dengan latar belakang yang baik dari segi pendidikan dan taraf hidup mempunyai pengetahuan awal tentang pencegahan kehamilan. Berlainan pula dengan latar belakang keluarga yang tidak terdedah dengan dunia luar.

“Apabila tidak terdedah dengan dunia luar, remaja ini apabila terjebak, dia tidak tahu hendak buat apa. Itu sebabnya kita selalu dengar banyak kes pembuangan bayi berlaku di kampung-kampung. Jarang kita dengar pembuangan bayi dilakukan di bandar-bandar besar.”

Walau bagaimanapun beliau menegaskan, remaja yang datang dari latar belakang yang baik dari segi pendidikan dan taraf hidup turut tidak terkecuali. Tegas beliau, remaja yang datang dari keluarga kaya dan berpendidikan ini juga banyak tetapi golongan ini biasanya berasakan apa yang mereka lakukan seakan tiada salahnya.

“Golongan ini biasanya mengamalkan hubungan bebas dan mempunyai hubungan yang agak rapat dengan rakan-rakan dalam lingkungan mereka. Hubungan rapat di antara ibu bapa menyebabkan mereka tidak kisah sekiranya anak-anak mereka bergaul rapat waima tidur bersama.”

Beliau turut berkongsi pengalamannya ketika mengendalikan satu kes melibatkan golongan ini di mana ibu bapa memberikan kebenaran kepada anak-anak mengambil dadah dengan syarat dilakukan di dalam bilik tidur masing-masing.

Melihat kepada kebejatan yang semakin berleluasa kini, pihak berkaitan, terutama ibu bapa seharusnya memandang serius perkara ini. Peningkatan bilangan kelahiran anak luar nikah dan pengguguran bayi sejak kebelakangan ini menunjukkan bahawa golongan remaja perlu didedahkan mengenai keburukan perbuatan ini pada fizikal, emosi, mental, sosial dan spiritual. Bukan itu sahaja, malahan kepada diri sendiri, keluarga, agama dan masyarakat keseluruhan.

Justeru, Dr Khaidzir melihat kajian-kajian yang dilakukannya dan data yang diperolehi adalah untuk memberitahu dan sebagai maklumat kepada masyarakat, pembuat dasar dan ibu bapa bagi mencari jalan penyelesaian. Menurut beliau, apa yang seharusnya dirisaukan adalah perlakuan yang berlaku sebelumnya iaitu peringkat pra zina, berkawan dan menonton video lucah kerana daripada peringkat permulaan tersebut akan membawa ke lembah zina.

“Kajian yang pernah saya lakukan sebelum ini iaitu isu remaja berisiko hilang dara, ramai yang memberi respon dan tidak kurang juga yang tidak bersetuju dengan dapatan daripada kajian tersebut. Bagi saya, hasil setiap kajian yang dilakukan tidak semestinya baik.

Menerusi “Kajian Profil Remaja Perempuan Risiko Tinggi Atau Bermasalah,” beliau mendedahkan bahawa hanya seorang sahaja daripada subjek ujikaji seramai 887 remaja bermasalah masih belum pernah melakukan zina.

Beliau  turut memperakui bahawa semua respon yang di terima merupakan suatu bentuk ‘tekanan’ yang dihadapi masyarakat. Namun, bak kata perumpamaan, genggam bara api biar jadi arang, beliau mengakui, dari satu aspek, kerisauan yang timbul itu adalah suatu yang baik. Ini kerana menurut beliau, ia akan membuatkan masyarakat berfikir. Kendatipun begitu, ada juga golongan masyarakat yang ingin menutup kerisauan tersebut dengan menimbulkan isu lain pula.

Terminologi yang beliau gunakan ketika ditanya mengenai cara mengatasi permasalahan ini cukup menarik. Beliau mengambil contoh pasaraya yang mempunyai ruangan tidak halal dan halal.

“Kita tidak pergi ke situ (ruang tidak halal) kerana kita rasa jijik dan faham. Tetapi ada juga sesetengah orang yang pergi ke situ kerana kurang tahu atau kurang ilmu. Kita tidak boleh menutup ruang tersebut kerana ia adalah ruang khas untuk masyarakat bukan Islam. Walaupun kita tidak boleh tutup, tetapi apa yang boleh kita lakukan ialah mengecilkan ruang tersebut.

Walau bagaimanapun, pokok pangkalnya adalah ilmu pengetahuan yang dimanfaatkan,” jelas beliau.